JOHOR BAHRU - Kes dua pasangan suami isteri yang didakwa mencederakan tiga pembantu rumah, Disember lalu memasuki perkembangan baharu selepas pengadu menarik balik laporan polis terhadap tertuduh, pada Selasa.
Peguam yang mewakili keempat-empat tertuduh, Kamal Hisham Jaafar berkata, pengadu bertindak sedemikian selepas mencapai persepakatan untuk menyelesaikan kes itu diluar mahkamah.
Menurutnya, anak guamnya juga melakukan tindakan sama.
“Persepakatan juga turut melibatkan kerjasama daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, video dua pasangan suami isteri yang mencederakan ketiga-tiga pembantu rumah mereka tular di media sosial, Jun lalu sehingga mengundang kecaman orang ramai.
Mereka ialah Muhamad Firdaus Sha’aban, 33, dan isterinya, Nurafiqah Nabila Hazhar, 33, serta Muhamad Hirzihaziq Abulae’s, 30, dan isterinya, Nurfarah Ainna Hazhar, 34,.
Mereka kemudiannya dituduh di Mahkamah Majistret di sini, 23 Jun lalu namun keempat-empat tertuduh tidak mengaku bersalah mencederakan Yulia Arnida, 34, di sebuah rumah di Jalan Ledang, Tampoi, kira-kira jam 8.30 malam pada 22 Disember lalu.
Muhamad Firdaus Sha’aban dan isterinya, Nurafiqah Nabila Hazhar, pula dituduh melakukan ugutan jenayah serta pemilikan pasport Indonesia terhadap, dua lagi pembantu rumah, Yatina Yusnita dan Siti Hajar.
Justeru, menurut Kamal Hisham, penyelesaian secara harmoni itu penting berikutan kes tersebut mendapat perhatian ramai terutama warga Indonesia yang berada di Malaysia.
“Selepas ini, ada proses temubual melibatkan semua individu bagi memastikan laporan berkenaan sememangnya ditarik secara sukarela dan bukannya paksaan,” ujarnya.
Kamal Hisham menjelaskan, keputusan untuk menggugurkan kes bukan terletak pada kuasa Timbalan Pendakwa Raya semata-mata, namun kebiasaannya perkara itu boleh dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, Mahkamah Majistret pada Rabu, menetapkan 18 September sebagai keputusan tersebut.
Majistret A Shaarmini menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.
Kesemua tertuduh juga hadir bagi pendengaran prosiding.





