
KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 13 Oktober bagi serahan laporan kimia kes pegawai tentera yang didakwa membunuh pempengaruh warga Bangladesh dalam kemalangan di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX).
Majistret Heng Yi Min menetapkan tarikh itu pada prosiding sebutan semula kes Kapten Jad Faid Arhan, 31, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd. Khusri memberitahu, laporan kimia belum tersedia dan memohon mahkamah memberi tempoh sebulan bagi penyediaan dokumen tersebut.
Peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muzahid Millad, 22, di Kilometer (KM) 1.9 lebuh raya MEX pada pukul 5.30 pagi, 23 April lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau boleh dipenjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun. Sekiranya hukuman penjara dikenakan, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan bagi dua pertuduhan lain yang dihadapi tertuduh, pihak pendakwaan turut memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen tambahan.
Majistret Aliaa Anwar kemudian menetapkan tarikh sama bagi serahan dokumen tambahan itu.
Mengikut dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa memandu Ford Fiesta di bawah pengaruh minuman memabukkan yang menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan itu.
Perbuatan itu menyebabkan kecederaan parah ke atas pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41, dan penumpang, Nafisa Tabassum Adiba, 20, yang juga isteri Muzahid pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Dalam kejadian 23 April lalu, seorang pegawai tentera yang memandu kereta Ford Fiesta dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan e-hailing jenis Perodua Alza di KM1.9 lebuh raya MEX dari arah Salak Selatan menghala Jalan Tun Razak.
Kemalangan itu mengorbankan pencipta kandungan popular warga Bangladesh berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi penumpang wanita warga Bangladesh berusia 20 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Turut cedera pemandu e-hailing dan seorang penumpang Ford Fiesta iaitu wanita berusia 36 tahun. – KOSMO! ONLINE
The post Serahan laporan kimia kes pegawai tentera bunuh, pandu mabuk 13 Oktober ini appeared first on Kosmo Online.





