Larang anak main luar rumah risau terserempak gajah

LocalEnvironment
21 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Larang anak main luar rumah risau terserempak gajah

SETIU: Kemunculan seekor gajah yang sesat di kawasan perumahan di Felda Chalok Rahmat di sini, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sehingga ada yang melarang anak-anak bermain di luar demi keselamatan.

Penduduk, Khairuddin Mohamad, 42, berkata, dia menyedari kehadiran haiwan itu kirakira pukul 5.30 petang kelmarin, sebaik sahaja pulang dari tempat kerja.

Dia yang menetap di kampung itu kira-kira 11 tahun lalu berkata, cemas melihat seekor gajah berada berhampiran rumahnya.

“Saya hanya tengok dari dalam rumah dan tidak menghalau atau memprovokasi gajah itu kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.

“Sejak kejadian itu, saya tidak membenarkan anak-anak bermain di luar rumah kerana takut jika gajah itu masih berada di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui.

Katanya, mamalia itu dilihat mencabut pucuk pokok kelapa dan memakan ubi kayu di kawasan berhampiran pagar rumahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seri Rahmat, Nordin Jusoh berkata, kehadiran haiwan berkenaan disedari penduduk selepas mereka menemukan kesan tapak kaki gajah di jalan yang baharu ditambak berhampiran kawasan kampung.

Katanya, kejadian itu adalah kali kedua berlaku di kampung tersebut dan mereka mengesyaki gajah berkenaan tersesat selepas terkeluar daripada kawanan.

“Kami sudah buat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan amat berharap masalah ini dapat segera ditangani,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung laporan yang diterima dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi terlibat bagi tindakan sewajarnya. – UTUSAN

The post Larang anak main luar rumah risau terserempak gajah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved