
KESERONOKAN peserta menantikan Larian Kasih Fun Run 2.0 yang dijadualkan berlangsung di Dataran DBKL pada 11 Oktober ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara ketika ini.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan peserta, petugas, sukarelawan serta orang ramai yang terlibat dalam program anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama SinarPlus.
Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron berkata, penangguhan berkenaan turut mengambil kira saranan susulan pengumuman penangguhan sambutan Hari Sukan Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Kita bukan batalkan program ini, sebaliknya hanya menangguhkannya. Kita akan melihat tarikh baharu yang sesuai dan memaklumkannya kepada orang ramai dalam masa terdekat," katanya ketika ditemu bual SinarPlus.

Nordina menjelaskan, tarikh baharu perlu diteliti terlebih dahulu bagi mengelakkan pertindihan dengan program lain, termasuk mengambil kira pengumuman berkaitan Belanjawan 2027.
Beliau turut memahami kekecewaan peserta yang sudah membuat persiapan dan tidak sabar untuk menyertai acara berkenaan. Namun, faktor kesihatan perlu diberikan keutamaan, lebih-lebih lagi apabila program itu turut melibatkan keluarga serta peserta orang kurang upaya (OKU).
"Memang semua orang teruja, termasuk staf YKN dan urus setia. Kita sebenarnya sudah bersedia untuk menjalankan program ini, tetapi keadaan jerebu yang semakin serius tidak boleh dipandang ringan.
"Matlamat kita adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Jadi, kita perlu memastikan keselamatan semua pihak terpelihara," ujarnya.
Dalam pada itu, Nordina berharap peserta terus memberikan sokongan apabila tarikh baharu Larian Kasih Fun Run 2.0 diumumkan kelak.

Beliau turut menghargai kerjasama SinarPlus yang memasuki tahun kedua, sekali gus menyifatkan program itu sebagai platform istimewa untuk menyatukan keluarga, rakan-rakan dan komuniti OKU menerusi aktiviti riadah bersama.
Mengulas mengenai aktiviti lain di bawah YKN, Nordina berkata, setakat ini program Kaunseling Kasih YKN akan diteruskan seperti biasa, khususnya aktiviti dalam ruang tertutup yang tidak terjejas oleh keadaan jerebu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling boleh menghubungi pihak YKN di talian 0123961599 untuk membuat janji temu atau mengikuti pengumuman lokasi program yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.






