Lebih 11 pokok warisan di Kota Kinabalu diselenggara

LocalEnvironment
11 Sep 2026 • 12:49 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lebih 11 pokok warisan di Kota Kinabalu diselenggara

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah menyelenggara lebih 11 pokok warisan di kawasan pentadbirannya sejak pertengahan Ogos lalu meliputi lokasi dari Sembulan hingga Likas.

Jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata empat pokok ujan-ujan telah diselenggara berhampiran Padang Merdeka serta kawasan berhampiran Wisma Muis, Jalan Tunku Abdul Rahman di Sembulan.

“Dua lagi pokok daripada spesies sama berhampiran Spinnaker Suites, Jalan Teluk Likas, serta sebuah lagi berhampiran ibu pejabat Lembaga Pelancongan Sabah, di persimpangan Jalan Gaya-Jalan Sangunting, turut diselenggara,” katanya.

POKOK ujan-ujan berhampiran Ibu Pejabat Lembaga Pelancongan Sabah (STB) antara lima pokok di sekitar bandar yang diselenggara baru-baru ini.Beliau berkata Unit Pengurusan Pokok (TMU) DBKK kini dalam proses menyelenggara beberapa pokok ujan-ujan berhampiran Wisma Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jalan Punai Tanah di Likas.

Menurutnya pasukan sembilan anggota unit berkenaan menjalankan kerja membuang dahan mati, tumbuhan menumpang (parasit) dan tumbuhan menjalar di setiap lokasi sebagai sebahagian usaha penyelenggaraan.

“Dahan yang terlalu rimbun turut dipangkas bagi memastikan pokok berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Beliau berkata sky-lift setinggi 27 meter digunakan bagi membantu anggota TMU mencapai bahagian kanopi pokok manakala sisa hasil kerja dimuatkan ke dalam lori terbuka seberat enam tan yang digunakan untuk tujuan berkenaan.

Katanya pada awal tahun ini seorang Arboris Bertauliah yang dilantik DBKK telah menjalankan penilaian terhadap keadaan pokok-pokok warisan berkenaan.

“Individu berkenaan turut ditugaskan untuk mengenal pasti sebarang potensi ancaman terhadap pokok-pokok berkenaan selain menyediakan senarai strategi bagi membantu kami meningkatkan penjagaan terhadap tumbuh-tumbuhan tersebut,” tambahnya.

Menurutnya tindakan untuk memastikan kesihatan pokok warisan dipelihara dilaksanakan oleh DBKK setiap tahun.

“Kakitangan Jabatan Landskap akan memeriksa keadaan setiap pokok, termasuk mengenal pasti tanda-tanda kerosakan yang mungkin berlaku,” katanya.

Jurucakap itu menjelaskan bahawa status ‘warisan’ lazimnya diberikan kepada pokok yang mempunyai ukur lilit yang besar – biasanya melebihi satu meter bergantung kepada spesies serta berusia lebih 100 tahun.

SEBAHAGIAN pokok ujan-ujan berhampiran Wisma Muis dianggarkan bernilai antara RM450,000 hingga RM550,000.“Nilai sejarah pokok dan habitatnya turut diambil kira. Satu lagi ciri penting ialah pokok berkenaan tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam,” tambahnya.

Selain pokok ujan-ujan (Samanea Saman), beliau berkata pokok tecoma (Tabebuia Rosea) dan pokok ru/aru pantai (Casuarina Equisetifolia) juga lazimnya dikategorikan sebagai pokok warisan.

“Pokok tecoma mempunyai nilai estetika yang tinggi, terutama ketika musim berbunga antara Mac dan April.

“Pokok ini mula ditanam di Kota Kinabalu menerusi Program Penghijauan Bandar pada 1999,” katanya.

Mengenai pokok aru pula beliau berkata spesies berkenaan banyak ditanam di taman awam persisiran pantai kerana pokok itu merupakan maskot rasmi DBKK.

Jurucakap itu berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menjalankan inventori pokok-pokok warisan di sekitar ibu negeri hampir dua dekad lalu.

“Perkara ini dilaksanakan menerusi Projek Pemuliharaan Pokok Matang Bernilai Warisan, yang ditaja oleh Jabatan Landskap Negara (JLN) di bawah kementerian berkenaan.

“Arboris Terlatih ISA memberikan status ‘warisan’ kepada pokok-pokok yang layak menerima pengiktirafan itu pada 2009. Mereka turut menilai nilai ekonomi pokok-pokok berkenaan,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai nilai kewangan pokok tersebut, beliau berkata arboris kementerian menilai empat pokok ujan-ujan berhampiran Wisma Muis bernilai antara RM450,000 hingga RM550,000.

Beliau berkata laporan berkenaan menganggarkan pokok-pokok ujan-ujan itu berusia lebih 77 tahun, begitu juga dengan kebanyakan pokok yang terdapat di sekitar kawasan Padang Merdeka.

Jelasnya pokok-pokok ujan-ujan berhampiran Spinnaker Suites pula dianggarkan berusia lebih 50 tahun pada ketika penilaian dibuat.

“Sebahagian pokok aru di Taman Prince Philip pula dianggarkan berusia lebih tujuh dekad berdasarkan laporan berkenaan,” maklumnya.

Jurucakap itu berkata DBKK tidak mempunyai rekod yang dapat mengesahkan dengan tepat bila pokok-pokok berkenaan mula ditanam.

“Namun spesies serta kepentingan simbolik atau sejarahnya menjadikan pokok-pokok ini mempunyai identiti sebagai ‘pokok warisan’,” jelasnya.

Sebelum ini DBKK memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang mencederakan atau merosakkan pokok warisan di sekitar ibu negeri boleh dikenakan bayaran berdasarkan nilai ekonomi yang ditetapkan bagi pokok berkenaan.

Pada ketika itu jurucakapnya berkata nilai dalam ringgit yang ditetapkan oleh JLN bagi pokok yang terjejas akan dijadikan asas tuntutan pampasan terhadap pihak yang melakukan vandalisme.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved