Usahawan e-dagang desak semakan WHT, beban cukai cecah 18 peratus

LocalBusiness & Finance
6 May 2026 • 6:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Usahawan e-dagang desak semakan WHT, beban cukai cecah 18 peratus
Norsyahrin (dua dari kiri) bersama Syed Gaddafi (kiri), Siraj (dua dari kanan) dan Timbalan Presiden MCCA, Azrul Zafri Azmi ketika sidang media pada Rabu.
Image from: Usahawan e-dagang desak semakan WHT, beban cukai cecah 18 peratus
Norsyahrin
Image from: Usahawan e-dagang desak semakan WHT, beban cukai cecah 18 peratus
Syed Gaddafi

KUALA LUMPUR – Beberapa persatuan perniagaan e-dagang menggesa kerajaan serta pihak berkepentingan menilai semula kaedah pelaksanaan Cukai Pegangan (WHT) yang dikenakan ke atas peniaga melalui perkhidmatan pengiklanan di platform luar negara seperti Meta dan TikTok.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, ketika ini peniaga e-dagang perlu menanggung WHT sebanyak 10 peratus ke atas kos iklan, selain turut dikenakan lapan peratus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

**media[3512596]**

"Pelaksanaan WHT dalam konteks pengiklanan digital memberi impak langsung terhadap kos operasi peniaga dalam talian khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada platform itu untuk jana pendapatan.

"Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil, meningkatkan risiko kerugian serta mengehadkan keupayaan peniaga untuk berkembang," katanya pada sidang media berkaitan WHT dan cabaran ekosistem peniaga digital di sini pada Rabu.

Presiden Pertubuhan Usahawan e-Dagang Malaysia (PUeDM), Syed Gaddafi Syed Saifuddin pula menjelaskan, klasifikasi iklan digital sebagai 'royalti' turut menambah beban apabila usahawan terpaksa membayar cukai keseluruhan sehingga 18 peratus.

**media[3512595]**

Menurutnya, beban tersebut berpunca daripada gabungan SST dan WHT bagi setiap transaksi iklan digital, sekali gus dilihat tidak seimbang berbanding pendekatan negara jiran seperti Indonesia.

"Indonesia mengamalkan pendekatan lebih mesra perniagaan menerusi Peraturan Menteri Kewangan (PMK) yang dikemas kini secara berkala bagi melindungi ekosistem digital.

"Peniaga di negara itu juga boleh mengemukakan borang khas bersama Sijil Pemastautin daripada platform seperti Meta atau Google untuk mengurangkan kadar WHT sehingga sifar peratus secara sah.

“Kenapa usahawan Malaysia perlu bayar sehingga 18 peratus cukai sedangkan negara jiran menikmati pelepasan lebih adil? Sudah tiba masanya dasar ini dikemas kini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneliti semula dasar sedia ada serta mempertimbangkan model Indonesia, termasuk mempermudah pelaksanaan perjanjian pengelakan cukai dua kali (DTA) bagi memastikan sistem percukaian lebih adil dan selari perkembangan ekonomi digital.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil mencadangkan supaya diadakan satu sidang meja bulat melibatkan semua pemegang taruh termasuk Kementerian Kewangan (MOF), KPDN, LHDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membincangkan struktur percukaian dalam ekosistem digital negara.

"Sebab itu hari ini kita mendesak kerajaan supaya lebih rasional mengenai perkara ini.

"Kita tidak mahu usahawan rasa 'lebih baik makan gaji daripada berniaga' kerana isu membebankan ini," ujarnya.