Lebihan bekalan global masih pengaruhi prospek PETRONAS Chemical, AmInvest kekal ‘HOLD’

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 11:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lebihan bekalan global masih pengaruhi prospek PETRONAS Chemical, AmInvest kekal ‘HOLD’ Image from: Lebihan bekalan global masih pengaruhi prospek PETRONAS Chemical, AmInvest kekal ‘HOLD’ hamden11/08/2026 - 11:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos - PETRONAS Chemicals Group Bhd (PetChem) dijangka mencatat prestasi pendapatan FY26 yang kukuh apabila operasi loji di Kertih kembali pulih selepas menjalani kerja-kerja penyelengaraan.

 

Bagaimanapun AmInvestment Bank Research (AmInvest) berkata, pemulihan industri petrokimia secara mampan masih memerlukan pengurangan kapasiti global yang besar.

 

Sehubungan itu firma berkenaan mengekalkan saranan ‘HOLD’ terhadap saham PetChem, tetapi menurunkan sasaran harga (TP) kepada RM4.80 daripada RM5.00, berdasarkan gandaan 9 kali EV/EBITDA FY27F, susulan semakan terhadap andaian harga produk.

 

AmInvest berkata, pemulihan harga akibat konflik perang berlaku tetapi tidak menyelesaikan isu lebihan kapasiti struktur dalam industri petrokimia.

 

Katanya, untuk mengembalikan kadar penggunaan global kepada paras sihat melebihi 80% menjelang 2030, industri perlu menutup secara kekal kira-kira 22 juta tan kapasiti etilena, 23 juta tan propilena dan 6 juta tan paraxylene (PX).

 

“Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan menghapuskan kapasiti keseluruhan beberapa rantau,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Oleh itu, buku kira-kira produk tidak dijangka pulih secara mampan sehingga loji-loji lama berkos tinggi keluar daripada operasi dan kadar penambahan kapasiti baharu diperlahankan dengan ketara, khususnya di China.

 

Lawatan Ke Kertih

AmInvest berkata, hasil lawatan ke Kompleks Bersepadu Petrokimia Kertih(KIPC) mengesahkan loji-loji PetChem di Kertih telah kembali beroperasi, dengan kadar penggunaan dijangka meningkat menghampiri 90% pada 3Q26, berbanding 80% pada 2Q26 susulan kerja-kerja penyelenggaraan besar.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kelebihan bahan suapan berasaskan etana di Kertih serta peningkatan spread polimer memberikan PetChem laluan jelas ke arah prestasi kewangan FY26 yang lebih kukuh.

 

Selain itu, pendapatan 2Q26 dijangka mendapat sokongan daripada harga produk yang lebih tinggi, dengan harga olefin dan derivatif (O&D) meningkat 22% secara suku ke suku, manakala baja dan bahan kimia (F&M) melonjak 45% suku ke suku.

 

“Dengan loji Kertih kembali beroperasi, PetChem sepatutnya mendapat manfaat daripada kelebihan ekonomi berasaskan etana, dengan spread PE-etana dan PE-etilena masing-masing berada 13% dan dua kali ganda berbanding purata lima tahun,” katanya.

 

Bagaimanapun, peningkatan penggunaan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) pada 3Q26 dijangka berlaku secara beransur-ansur dan kekal di bawah 90%, susulan gangguan operasi kecil pada dua unit RFCC di kilang penapisan Pengerang selepas ia dimulakan semula pada Jun.

 

Kedua-dua unit berkenaan bagaimanapun telah kembali beroperasi pada akhir Julai.

 

Pelupusan PPC

Firma penyelidikan itu turut melihat potensi pelupusan pegangan dalam Petronas Chemicals Derivatives Sdn Bhd (PPC) sebagai pilihan kenaikan nilai, walaupun perkara tersebut belum dimasukkan dalam unjuran asas.

 

Sekiranya pelupusan PPC direalisasikan, ia berpotensi meningkatkan anggaran pendapatan FY27F-FY28F PetChem sebanyak 124%-233%, selain menambah RM0.50 kepada penilaian saham, sekali gus meningkatkan TP kepada RM5.30.

 

Akaun FY25 PetChem meletakkan nilai boleh pulih bagi hartanah, loji dan peralatan (PPE) PPC pada RM7.3 bilion, namun angka itu hanya menjadi rujukan nilai aset dan bukan harga transaksi yang dijangka. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved