Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang tukang masak berusia 30 tahun ditahan polis selepas dipercayai menjadi individu yang mencetuskan provokasi sehingga berlaku insiden tolak-menolak ketika sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, awal pagi Isnin.
Suspek yang juga dikenali menerusi video tular sebagai ‘lelaki berbaju oren’ ditahan di Putrajaya semalam selepas lima laporan polis dibuat terhadapnya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan penahanan lelaki tersebut bagi membantu siasatan lanjut.
Lelaki terbabit dipercayai melakukan provokasi sehingga menyebabkan orang ramai yang berada berhampirannya merempuh barisan hadapan untuk merebut tempat duduk di Dataran Putrajaya.
Tindakan itu didakwa menyebabkan orang ramai mula berasak dan menolak antara satu sama lain sehingga beberapa individu dilaporkan terjatuh serta mengalami kecederaan.

Artikel berkaitan: “Amalan sejak 2018” – Urus Setia Hari Kebangsaan Jelaskan Sebab Tun Mahathir Tidak Berada Di Pentas VIP
Artikel berkaitan: 5 Lelaki Ditahan Gara-gara Lakukan Provokasi & Ugutan Terhadap Pelanggan Restoran Makanan Segera
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki berbaju oren atau coklat mencetuskan provokasi terhadap orang awam yang berada di kawasan berkenaan sekitar jam 5 pagi.
Dalam rakaman itu, suasana bertukar kecoh apabila orang ramai dilihat berpusu-pusu ke hadapan sebaik pagar tempat duduk belum dibuka sehingga berlaku rempuhan kecil dan beberapa individu rebah akibat ditolak.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Sementara itu, polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan di IPD Putrajaya.
Sumber: Harian Metro
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






