
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 28 tahun didenda RM4,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret pada Khamis kerana membantu melupuskan sebuah telefon bimbit curi.
Md Qhairil Md Aksam mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan membantu melupuskan sebuah telefon bimbit merah jenama Oppo A5S milik kedai pakaian Matahari di pusat beli-belah 1Borneo pada jam 10.30 pagi, 21 Oktober tahun ini.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah diberitahu oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah bahawa laporan polis dibuat selepas kedai milik majikan pengadu didapati dipecah masuk sekitar jam 11.38 pagi pada hari kejadian.
Siasatan mendapati seorang lelaki telah masuk ke dalam kedai dengan mencongkel pintu belakang, merosakan pengatup gulung (roller shutter) sebelum menggeledah kaunter juruwang.
Lelaki itu melarikan wang tunai dari laci kaunter serta dua telefon bimbit milik kedai tersebut sebelum melarikan diri sekitar tengah malam pada 21 Oktober.
Dia kemudiannya membuang kedua-dua telefon tersebut berhampiran lokasi kejadian di kawasan longkang tepi jalan berhampiran One Borneo Hypermall.
Polis kemudian berjaya menemui semula salah satu telefon yang dicuri iaitu Oppo A5S berwarna merah di lokasi tersebut.
Siasatan selanjutnya mendapati Md Qhairil telah membantu melupuskan telefon bimbit curi berkenaan.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 31 tahun didenda RM1,500 atau penjara tiga bulan oleh mahkamah sama kerana berjudi di tempat awam.
Wong Meng Siong mengaku bersalah melakukan kesalahan itu pada jam 6.40 petang, 25 Oktober di sebuah premis di Inanam Plaza, Inanam.
Dia dituduh di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut pihak pendakwaan sepasukan polis menyerbu premis berkenaan selepas menerima maklumat.
Semasa serbuan polis menemui 10 individu — sembilan lelaki dan seorang wanita sedang menjalankan aktiviti pertaruhan ‘Bola Jalan’.
Siasatan mengesahkan Wong telah mengambil bahagian dalam aktiviti perjudian haram tersebut.
Antara barangan yang dirampas ialah wang tunai bercampur berjumlah RM1,130.
Sementara itu seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki harta curi.
Abdul Rashid didakwa menyimpan sebuah kereta Perodua Axia dan kuncinya yang merupakan milik Saidatul Ana pada 22 Oktober tahun ini, jam 6 petang berhampiran sebuah bangunan kosong di Taman Limauan, Kinarut.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan lebih rendah.
Mahkamah menetapkan 11 Disember untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua penjamin.
Tertuduh juga diperintahkan melapor diri di balai polis setiap dua minggu sekali.


