Lelaki Cedera, Melambung Ditanduk Lembu Mengamuk

28 May 2026 • 9:42 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lelaki Cedera, Melambung Ditanduk Lembu Mengamuk

KUALA LUMPUR - Suasana tenang di satu program ibadah korban di Kelantan semalam bertukar panik, selepas seekor lembu tiba-tiba menjadi agresif dan menyerang peserta, sehingga mencederakan seorang lelaki.

Kejadian berlaku antara jam 10.30 pagi hingga 11 pagi di Taman Kesedar Putra 1, Gua Musang semalam ketika acara korban komuniti yang dihadiri penduduk kampung dan sukarelawan.

Mangsa, Fahmi Ibrahim berusia 29 tahun, mengalami kecederaan pada ibu jari kaki kanan, lutut dan tapak tangan kanan selepas ditanduk haiwan tersebut, yang dilaporkan terlepas ketika menunggu untuk disembelih.

Menurut Fahmi, lembu berkenaan merupakan haiwan korban keenam dan terakhir yang dijadualkan untuk disembelih.

Beberapa saat sebelum kejadian, dia baru sahaja selesai memindahkan daging lembu ke khemah agihan untuk dipotong dan dibungkus apabila haiwan itu tiba-tiba menjadi tidak terkawal.

“Keadaan itu menyebabkan orang ramai yang menghadiri program tersebut bertempiaran lari dalam keadaan panik. Sebelum itu, tiga individu lain hampir ditanduk lembu tersebut, tetapi mereka sempat mengelak,” katanya, seperti dilaporkan KOSMO online.

Fahmi berkata dia tidak menyedari haiwan terbabit menghampirinya dari belakang sebelum menyerang.

“Saya tidak sedar lembu itu berada di belakang saya sebelum ia menanduk saya dan menyebabkan saya tercampak. Pada mulanya saya trauma dengan kejadian itu,” katanya.

“Namun selepas difikirkan semula, ia menjadi satu kejadian yang agak lucu. Mujur saya tidak mengalami kecederaan serius dan hanya cedera pada ibu jari kaki kanan, lutut dan tapak tangan kanan selepas tercampak akibat rempuhan lembu itu,” katanya.

Walaupun pengalaman berkenaan agak menakutkan, Fahmi berkata insiden tersebut tidak akan menghalangnya daripada menyertai program korban bersama penduduk setempat pada masa akan datang.

Terdahulu, rakaman kejadian itu tular di media sosial, memaparkan detik lelaki tersebut tercampak ke udara selepas dirempuh lembu korban terlibat.

Video kejadian yang dimuat naik oleh @hantu.nii di Thread boleh disaksikan menerusi pautan https://www.threads.com/@hantu.nii/post/DY1GyzFAUo5?xmt=AQG0BEDD6VqBOEj4OJnsQ7svW9siFCytxlmoSuOORlpiPNwfLbCsTPwb3oYlHInuoE6Pb0Z8&slof=1.

Menerusi video berkenaan, dapat dilihat keadaan bertukar kelam-kabut dalam kalangan sukarelawan dan orang awam yang membantu aktiviti penyembelihan serta penyediaan daging, dengan beberapa individu dilihat cuba mengejar haiwan yang melarikan diri itu. – Getaran, 28 Mei 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved