Lelaki dikehendaki polis Singapura jadi mangsa culik di Johor

12 Aug 2026 • 5:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki dikehendaki polis Singapura jadi mangsa culik di Johor
Datuk M. Kumar menunjukkan barang rampasan

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang lelaki yang diburu polis Singapura untuk mendapatkan perlindungan di Johor bertukar tragedi apabila dia menjadi mangsa culik oleh sekumpulan enam individu tempatan minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, mangsa yang masuk ke Malaysia secara tidak sah sejak Mei lalu telah meminta bantuan kenalannya, namun sebaliknya dijadikan tebusan.

Menurutnya, kumpulan terbabit menuntut wang tebusan sebanyak S$80,000 (RM255,000) sebelum bersetuju menerima S$25,000 (RM79,822).

“Sebahagian wang iaitu S$5,000 (RM17,500) telah dibayar secara atas talian, manakala baki dijadualkan diserahkan di sebuah pasar raya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Rabu.

Polis bertindak pantas dengan menahan seorang suspek berusia 40 tahun di pasar raya Nusa Bestari, Iskandar Puteri pada Selasa. Ketika operasi itu, mangsa lelaki ditemui cedera di kedua-dua paha dipercayai akibat dikelar senjata tajam, manakala teman wanitanya turut diselamatkan.

Susulan tangkapan tersebut, lima lagi suspek termasuk seorang wanita berusia 32 hingga 46 tahun ditahan di Skudai.

Rampasan turut dibuat melibatkan wang tunai S$12,000 (RM38,324), wang tunai RM41,400, rantai emas, jam tangan Rolex, parang serta sebuah kereta Perodua Axia.

Hasil semakan mendapati lima suspek mempunyai rekod jenayah termasuk dadah, manakala empat daripadanya positif methamphetamine.

Kesemua suspek direman 10 hari sehingga 21 Ogos. Mangsa lelaki pula direman 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala teman wanitanya direman empat hari sehingga 15 Ogos atas kesalahan positif dadah.

M Kumar berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved