
KUALA LANGAT – Seorang lelaki dipercayai pemilik kebun mati dibunuh dalam kejadian di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting di sini kelmarin.
Mangsa berusia 49 tahun itu dikatakan mengalami kecederaan dengan kesan koyakan di bahagian kepala.
Ketua Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota cawangan Ketenteraman Awam dan Keselamatan (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ini kira-kira pukul 5 petang kelmarin berhubung penemuan lelaki tempatan tidak sedarkan diri di dalam kebun kelapa sawit di Banting.
Katanya, susulan kejadian itu, polis telah menahan lapan lelaki yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.
“Kes siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan 12 sebatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, kesemua suspek termasuk warga asing berusia 20 hingga 60 tahun itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok. – KOSMO! ONLINE
The post Pemilik kebun mati dibunuh appeared first on Kosmo Digital.






