
KOTA KINABALU - Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang diburu selama 17 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Beverly Hills, Penampang.
Suspek ditahan di sebuah kediaman di Kolombong, Inanam, di sini, pada 22 Oktober lalu hasil usaha pengesanan dan siasatan berterusan pihak polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Penolong Superintendan Arisanti Aziz, berkata penahanan itu dilakukan bagi membantu siasatan kes kematian lelaki berkenaan yang berlaku pada 11 April 2009.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah juga hendaklah dikenakan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali, selaras dengan peruntukan undang-undang berkenaan.
Arisanti berkata, kejayaan menahan suspek membuktikan komitmen polis dalam membanteras jenayah serta memastikan individu yang disyaki terbabit dalam kesalahan serius dikesan dan dibawa ke muka pengadilan. - Getaran, 24 Oktober 2026






