
PETALING JAYA – Tindakan dua orang lelaki yang memeriksa warga asing membeli barang keperluan di sebuah pasar raya mendapat kecaman ramai.
Menerusi sebuah video yang tular di laman Thread, dua orang lelaki dirakam bertindak seperti penguat kuasa apabila menahan seorang warga asing dan memeriksa barangan yang dibeli.
Dua lelaki berkenaan turut didengari memberitahu warga asing itu bahawa dia tidak boleh membeli telur dalam kuantiti banyak serta beras jenama tempatan.
“Kenapa lari? Hahh mesti ada buat salah ni kalau tak, tak akan lari kan,” tulis kapsyen hantaran video tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan dua orang lelaki tersebut yang dikatakan berlagak seperti penguatkuasa sesuka hati.
“Nak tahan pun agaklah, beras subsidi cuma beras tempatan lima peratus untuk lima kilogram (kh) RM13, 10kg, RM26. Harga tetap, telur mana ada subsidi dah. Minyak paket sahaja bersubsidi, nak terjah pun kena otak. Kalau semua barang tahan tak bagi beli, meraka nak makan apa?,” soal Ekin.
“Mohon pencerahan KPDN, adakah orang awam berhak menyoal sesiapa sebegini rupa? Apa punca kuasa yang memberi mereka hak berbuat demikian?,” soal Bee.
“Aku cakap ni bukan nak pihak warga asing, tapi dalam troli dia, apa yang barang subsidi? Minyak botol bukan subsidi, beras pun import, telur tiada subsidi dah,” kata Faiz. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki lagak penguat kuasa ‘periksa’ warga asing dikecam appeared first on Kosmo Online.






