
KENINGAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam kemalangan di Batu 11, Jalan Keningau-Sook, tengah hari Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.37 tengah hari itu, Wann Samuji, 27, dari Kampung Kuala Sumatalun, Pagalungan, Nabawan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan putus kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 1.35 petang sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sebuah Toyota Hilux yang dipandu seorang petani berusia 61 tahun dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Sook, manakala mangsa yang menunggang motosikal Honda RS-X datang dari arah bertentangan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian selepas melalui selekoh, pemandu Toyota Hilux dipercayai cuba memotong sebuah lori di garisan berkembar.
Pada masa sama, motosikal mangsa muncul dari arah bertentangan dan disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu gagal mengelak lalu merempuh motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak kira-kira 10 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang konkrit di bahu jalan. Kaki kanan mangsa turut putus dan ditemui kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa ditemui.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Keningau sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.
Sementara itu, pemandu Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan. Yampil berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Toyota Hilux yang memotong di garisan berkembar sehingga menyebabkan perlanggaran dengan motosikal mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.






