Lelaki simpan barang curi dipenjara empat bulan, denda

1 Oct 2026 • 3:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lelaki simpan barang curi dipenjara empat bulan, denda

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 33 tahun dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 atau dua bulan penjara kerana menyimpan barangan curi.

Razman Abdul Harris mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan menyimpan secara tidak jujur 13 kotak ubat dan empat kotak minyak wangi milik Guardian 1Borneo di premis Guardian, 1Borneo pada jam 6 petang, 17 Ogos lalu.

Razman didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah dimaklumkan barangan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM299.90 didapati hilang dari rak kedai.

Razman kemudian ditahan di kawasan parkir dan beberapa barangan yang dicuri dari Guardian ditemui bersamanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap.

Dalam kes berasingan seorang lelaki didenda RM1,400 atau empat bulan penjara kerana melupuskan harta curi.

Syafis Sakaran mengaku bersalah melupuskan bersama-sama sebuah bungkusan milik Adleen Nadhirah di sebuah rumah di Pangsapuri Angkasa kira-kira jam 2.54 petang, 6 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia didakwa bersama Salina Danan yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini untuk sebutan semula sementara menunggu arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas dimaklumkan peguam Salina bahawa pihak pembelaan telah mengemukakan surat representasi.

Terdahulu pihak pendakwaan memaklumkan pengadu mendapati kira-kira jam 6 petang bahawa sebuah bungkusan mengandungi tudung bernilai RM30 yang ditinggalkan syarikat penghantaran di luar jeriji rumahnya telah hilang.

Rakaman CCTV jiran menunjukkan seorang lelaki mengambil bungkusan berkenaan.

Selepas ditahan Syafis membawa polis ke lokasi bungkusan itu dibuang dan ia kemudian berjaya ditemui semula.

Pengadu mengenal pasti bungkusan yang ditemui itu sebagai bungkusan yang dialamatkan kepada isterinya Adleen Nadhirah dengan alamat rumah mereka tertera pada bungkusan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Akash Singh mengendalikan pendakwaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved