
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 41 tahun yang mempunyai dua rekod sabitan terdahulu kerana mengambil syabu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan kerana mengulangi kesalahan sama buat kali ketiga.
Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Mirdee Mandan selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, Mohd Mirdee turut diperintahkan menjalani pengawasan polis selama tiga tahun.
Mohd Mirdee didapati mengambil dadah berbahaya dikenali sebagai amphetamine dan methamphetamine pada 3 Jun lalu selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Pertuduhan menyatakan dia mempunyai dua sabitan terdahulu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabitan pertama direkodkan pada 16 Jun 2023 apabila dia didenda RM1,900 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda serta dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.
Bagi sabitan kedua Mohd Mirdee dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan serta pengawasan polis selama dua tahun pada 11 September 2025.
Kedua-dua sabitan itu dijatuhkan di Mahkamah Majistret Beaufort.
Mohd Mirdee didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta berkenaan.
Peruntukan itu membawa hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun serta sekurang-kurangnya tiga sebatan.
Seksyen 38B(1) turut memperuntukkan tertuduh dikenakan pengawasan pegawai seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selepas selesai menjalani hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh mengendalikan pendakwaan manakala Mohd Mirdee tidak diwakili peguam.






