KUALA SELANGOR – Kemampuan seorang warga emas menyembelih sehingga 20 ekor lembu sehari ketika musim ibadah korban membuktikan pengalaman luas dimilikinya sepanjang lebih 30 tahun terbabit dalam kerja penyembelihan.
Bekas imam dan jurunikah, Mohd Radzi Samsuddin, 74, berkata, ketika usia masih muda dia mampu mengendalikan puluhan lembu korban sehari kerana mempunyai tenaga dan kemahiran dalam bidang itu.
"Sekarang disebabkan kekangan usia, saya hanya mampu tumbangkan lima atau enam ekor sehari pun sudah memadai," katanya ketika ditemui pada Program Korban Hari Raya Aidiladha Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini pada Khamis.
Mohd Radzi berkata, kerja penyembelihan bukan sekadar memerlukan tenaga, malah perlu dilakukan dengan teknik yang betul bagi memastikan haiwan tidak terseksa.
Menurutnya, penyembelih perlu memastikan pisau digunakan benar-benar tajam selain memahami niat ibadah korban yang dilakukan.
"Sebelum sembelih, saya akan tanya dulu korban itu wajib atau sunat. Pisau pula mesti tajam supaya kerja berjalan lancar dan haiwan tidak sakit lama," jelasnya.
Bapa kepada tujuh anak itu turut berkongsi pelbagai pengalaman sepanjang terbabit dalam ibadah korban termasuk kejadian lembu terlepas lari sehingga mengambil masa beberapa hari untuk ditemui semula.
"Ada juga pengalaman lembu hilang sampai dua atau tiga hari baru jumpa. Itu biasa dalam kerja penyembelihan,” katanya.
"Sehingga kini saya masih membantu masyarakat setempat dalam urusan korban selagi diberikan kesihatan dan kudrat," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sungai Kajang, Azimi Samsuddin berkata, program itu anjuran bersama UMNO Cawangan Tanjong Karang Utara dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk termasuk golongan asnaf di kawasan itu.
Beliau berkata, sebanyak dua ekor lembu dikorbankan pada program kali pertama berkenaan.
Menurutnya, seekor lagi lembu diserahkan kepada Masjid Ar-Raudhah bagi pelaksanaan ibadah korban secara bersama.
"Anggaran keseluruhan daging korban yang diagihkan kira-kira 400 kilogram dan setiap penerima akan menerima satu kilogram supaya agihan dapat dilakukan secara sama rata," katanya.
Azimi berkata, lebih 200 kupon sudah diedarkan kepada golongan asnaf di sekitar Sungai Kajang bagi melancarkan proses pengagihan.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Tanjong karang, Dr Emy Aizat Azimi berkata, kawasan pentadbiran JPKKP Sungai Kajang mempunyai kira-kira 6,000 penduduk merangkumi empat kampung iaitu Sungai Kajang Baru, Sungai Kajang Lama, Lembah Pantai dan PPRT selain tujuh taman perumahan.
Beliau berkata, ibadah korban pada hari kedua Aidiladha itu dilaksanakan bagi membolehkan program dijalankan serentak dengan Masjid Ar-Raudhah Tanjung Karang.
"Sambutan diterima sangat menggalakkan sehingga sudah ada penduduk mendaftar untuk menyertai korban tahun depan.
"Kita menjangkakan jumlah lembu korban pada tahun depan meningkat kepada enam ekor berdasarkan sambutan diterima tahun ini," katanya.
