Lenovo kini membuat kejutan dengan memperkenalkan kaca mata pintar baharu dibawah jenama Legion, dinamakan Legion Glasses. Berbeza dengan kaca mata pintar lain yang diperkenalkan dengan fokus terhadap AR, pihak Lenovo dilihat lebih realistik dan memperkenalkan ia sebagai pengganti kepada monitor.

Lenovo Glasses ini hadir dengan teknologi paparan micro-OLED, menawarkan pengalaman seumpama menggunakan skrin resolusi 1920x1080p untuk setiap mata pada kadar resolusi 60Hz.
Sambungan USB-C digunakan untuk ia dihubungkan ke peranti lain, dan menariknya Lenovo Glasses ini mesra platform dan pelbagai peranti – termasuk Windows, macOS, Android dan iOS. Memandangkan pelbagai peranti ini mengenal-pasti ia sebagai sebuah skrin monitor, maka proses sambungan adalah mudah. Lenovo sendiri menyertakan kabel sepanjang 1.2 meter untuk tujuan sambungan.

Dengan penawaran ini, kaca mata Lenovo terbaru ini dilihat lebih menarik dan mungkin menjadi sasaran ramai dalam mendapatkannya. Lenovo akan memasarkan ia bermula Oktober kelak. Seperti biasa, pengguna yang memerlukan kanta tambahan turut boleh menyesuaikan ia bersama Legion Glasses ini.
