Lima maut, 222 motosikal disita sepanjang RXZ Members 8.0 di Terengganu

3 Aug 2026 • 12:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lima maut, 222 motosikal disita sepanjang RXZ Members 8.0 di Terengganu
Mohd Khairi (kiri) menunjukkan antara motosikal yang disita atas pelbagai kesalahan sepanjang dua hari penganjuran himpunan RXZ Members 8.0 di Kuala Nerus, pada Jumaat dan Sabtu lalu.

KUALA TERENGGANU — Sebanyak 222 buah motosikal disita manakala 1,850 saman dikeluarkan sepanjang himpunan RXZ Members 8.0 yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat lalu.

​Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kesemua motosikal berkenaan diambil tindakan sita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dijalankan di seluruh negeri.

​Menurutnya, perhimpunan yang menghimpunkan lebih 160,000 pengunjung itu turut merekodkan peningkatatan kes kemalangan jalan raya iaitu sebanyak 29 kes pada tahun ini berbanding 11 kes pada penganjuran tahun lalu.

​"Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima kes kemalangan maut yang meragut lima nyawa dicatatkan di Terengganu pada tahun ini berbanding hanya dua kes pada tahun lepas.

​"Mangsa yang terlibat, empat lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 20 hingga 48 tahun. Dua kes melibatkan motosikal jenis Yamaha RXZ di Kuala Terengganu dan Kemaman, manakala tiga lagi membabitkan motosikal jenis Yamaha 125Z, Yamaha Y15 dan Honda Vario iaitu satu kes di Kemaman dan dua kes di Dungun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini pada Isnin.

​Mengulas mengenai kawalan keselamatan dan kadar jenayah, Mohd Khairi memberitahu, secara keseluruhannya sebanyak empat kes jenayah direkodkan sepanjang program berbanding 6 kes pada penganjuran RXZ Members 7.0 tahun lalu.

​Katanya, ia merangkumi satu kes kecurian motosikal jenis Yamaha 125Z di luar Litar Pemotoran Gong Badak dan satu kes jenayah komersil melibatkan penipuan tawaran inap desa tidak wujud di Wakaf Tengah, Kuala Nerus membabitkan kerugian RM1,200.

​Bagi kes jenayah narkotik pula, katanya, sebanyak 15 pemeriksaan dijalankan di sekitar Kuala Terengganu meliputi tujuh lokasi inap desa serta di sekitar tapak program.

​"Hasil pemeriksaan, tindakan diambil dengan membabitkan lima kes dan tiga tangkapan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Tindakan pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperketatkan tanpa kompromi demi memastikan perhimpunan berskala besar tidak dicemari aktiviti penyalahgunaan dadah atau bahan terlarang," katanya.

​Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu turut membuat enam tangkapan membabitkan empat lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warganegara Singapura berusia 22 tahun.

​Beliau berkata, kesemua mereka akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 di Mahkamah Majistret daerah tangkapan masing-masing.

​"Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000.

​"PDRM menasihati seluruh pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, agar sentiasa mengamalkan sikap pemanduan berhemah, mematuhi had laju serta memastikan kenderaan mengikut spesifikasi demi keselamatan bersama," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved