Lombong pasir haram di tiga negeri digempur, nilai rampasan RM13.26 juta

21 Aug 2026 • 10:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lombong pasir haram di tiga negeri digempur, nilai rampasan RM13.26 juta
Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan perlombongan haram selepas menggempur tujuh lokasi berasingan di tiga negeri menerusi Ops Gali Mega, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM13.26 juta. Foto Bernama

SHAH ALAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan perlombongan haram selepas menggempur tujuh lokasi berasingan di tiga negeri menerusi Ops Gali Mega, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM13.26 juta.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkat, operasi bagi membanteras kegiatan itu bermula pada 11 pagi Rabu, meliputi kawasan Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

"Secara keseluruhan seramai 31 individu diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 15 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya selepas meninjau tapak haram selepas serbuan tersebut di sini malam tadi.

Sementara itu, Hakemal berkata, serbuan terbaharu pada jam 3.30 petang semalam menyasarkan sebuah tapak operasi haram berkeluasan 0.647 hektar di kawasan Jalan Lapangan Terbang Subang Lama, yang dipercayai memproses pasir tanpa kebenaran.

Beliau berkata, operasi dilaksanakan secara bersepadu dengan mendapat kerjasama daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Hasil serbuan di tapak tersebut berjaya menahan 12 orang terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan tujuh lelaki warga asing.

"Pasukan operasi turut merampas 1,500 tan pasir, jentera berat serta peralatan mencuci dan memproses pasir dengan nilai rampasan di lokasi ini sahaja dianggarkan RM5 juta,” katanya.

Menyentuh mengenai modus operandi sindiket, Hakemal berkata, pasir berkenaan dipercayai dibawa masuk dari kawasan luar termasuk sisa tapak pembinaan untuk dicuci dan diproses menjadi pasir halus, sebelum dijual pada harga sekitar RM500 hingga RM600 bagi sebuah lori.

Katanya, kegiatan memproses pasir yang kebiasaannya beroperasi pada waktu siang itu turut melepaskan sisa basuhan tanah secara terus ke dalam sungai berhampiran, sekali gus mengakibatkan pencemaran dan kekeruhan air yang ketara.

Beliau berkata, kesemua tangkapan disiasat mengikut Akta Kanun Tanah Negara 1965, Enakmen LUAS 1999, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Undang-Undang Kecil 2021.

Hakemal menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mendapati sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing.- Bernama 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved