Lori tangki hilang kawalan punca nahas ragut empat nyawa di Temerloh

1 Sep 2026 • 12:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lori tangki hilang kawalan punca nahas ragut empat nyawa di Temerloh

TEMERLOH: Kemalangan 11 kenderaan yang meragut empat nyawa di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 arah timur, dekat Lanchang di sini malam tadi dipercayai berlaku selepas sebuah lori tangki muatan simen hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain yang bergerak perlahan.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian kira-kira pukul 10.55 malam itu melibatkan lori tangki berkenaan, sebuah bas ekspres dan sembilan kereta yang dalam perjalanan menuju ke arah timur.

Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan empat individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut di lokasi kejadian.

“Mangsa yang maut adalah penumpang Honda CR-V, Seow Beng Wain, 55, manakala anaknya, Sebastian Seow Jhen, 18, yang memandu kenderaan itu parah.

“Dalam kemalangan sama, pemandu Proton S70, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd. Kazwan, 32, serta anak lelaki mereka berusia empat tahun turut meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azry Akmar, pemandu lori tangki, Zulkarnain Md. Noh, 52, mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain termasuk sebuah bas ekspres, Toyota Hilux, Toyota Alphard dan lima kereta tidak mengalami kecederaan serius.

“Semua mangsa dibawa ke HoSHAS untuk mendapatkan rawatan manakala bedah siasat terhadap mangsa yang meninggal dunia dijalankan pagi ini,” katanya.

Beng Wain dan Sebastian berasal dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, manakala Muhammad Nazatul dan Nur Atiqah yang menetap di Bandar Damansara, Kuantan, merupakan pemilik sebuah kafe.

Identiti anak lelaki pasangan Muhammad Nazatul dan Nur Atiqah yang berusia empat tahun belum diperoleh.

Sementara itu, Zulkarnain yang berasal dari Kampung Padang, Kuantan, masih menerima rawatan di HoSHAS akibat kecederaan parah.

Azry Akmar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN.

 

The post Lori tangki hilang kawalan punca nahas ragut empat nyawa di Temerloh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved