hamden13/08/2026 - 09:00 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Ogos - KPJ Healthcare Bhd dijangka mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM92 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q26), meningkat 16% tahun ke tahun (YoY) dan 28% suku ke suku (QoQ), didorong peningkatan jumlah pesakit, intensiti hasil serta pemulihan margin, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Beli’ bagi KPJ dengan harga sasaran (TP) RM3.77, yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 23%, selain hasil dividen kira-kira 2%.
KPJ dijangka mengumumkan keputusan 2Q26 pada 21 Ogos 2026.
Firma iru berkata, anggaran tersebut menjadikan keuntungan bersih teras 1H26F kepada RM163 juta, meningkat 14% YoY dan masing-masing mewakili 40% daripada unjuran setahun penuh firma berkenaan serta 41% daripada anggaran konsensus.
“Ini berbanding sumbangan pendapatan separuh pertama sekitar 34% hingga 38% daripada pendapatan setahun penuh pada 2024 hingga 2025,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu mengunjurkan pertumbuhan 4% YoY dalam intensiti hasil dan peningkatan 1% dalam kemasukan pesakit dalam, manakala margin EBITDA 2Q26 dianggarkan pada 22.5%, meningkat 1.4 mata peratus QoQ tetapi susut 0.5 mata peratus YoY.
Peningkatan margin secara berurutan dijangka disokong oleh kadar penggunaan katil yang lebih tinggi selepas kelembapan ketika musim perayaan, meskipun sebahagiannya diimbangi oleh pelaburan berterusan dalam infrastruktur IT dan digital.
Kadar cukai efektif pula diandaikan pada 32%, lebih tinggi berbanding panduan pengurusan sebanyak 28% hingga 31%.
Lancarkan COE Ketiga
Dalam perkembangan lain, KPJ telah melancarkan pusat kecemerlangan (COE) ketiganya di KPJ Penang Specialist, yang memberi tumpuan kepada bidang ortopedik dan reumatologi.
Ia menyusuli pelancaran COE Jantung & Paru-paru di KPJ Johor Specialist Hospital serta COE Neurosains & Strok di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2).
Kesemua COE berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan KPJ untuk melancarkan 15 COE di bawah rangka kerja KPJ Health System (KPJHS).
Pengembangan tersebut dijangka memperkukuh keupayaan klinikal kumpulan serta menyokong peningkatan intensiti hasil dalam jangka panjang, selain memanfaatkan rangkaian hospital sekunder dan perkongsian penjagaan primer bagi meningkatkan rujukan kepada COE.
Penilaian Lebih Menarik
Sementara itu, saham KPJ telah susut kira-kira 13% daripada paras tertinggi 52 minggu RM3.52, dengan saham kini didagangkan pada kira-kira 14.7 kali EV/EBITDA berbanding 16.7 kali sebelum ini.
RHB Research melihat penilaian semasa sebagai titik kemasukan yang lebih menarik.
Penurunan tersebut berkemungkinan mencerminkan normalisasi penilaian sektor penjagaan kesihatan secara lebih meluas selepas penyenaraian berjaya Sunway Healthcare, selain sentimen yang terjejas akibat pelaksanaan berperingkat strategi RESET Malaysia.
"Namun, dari perspektif kos, skala KPJ dijangka membolehkan strategi perolehan kumpulan terus menyokong margin EBITDA walaupun intensiti hasilnya relatif lebih rendah," katanya.
Firma itu berkata tesis pelaburan terhadap KPJ kekal tidak berubah, dengan kumpulan tersebut berada pada kedudukan baik untuk menjadi antara penerima manfaat utama daripada pelaksanaan MediAsas yang akan datang.
Potensi kenaikan tambahan juga boleh dicetuskan oleh lebih banyak hospital dalam fasa kematangan yang mula mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) positif.
Risiko utama terhadap pandangan tersebut termasuk jumlah lawatan pesakit yang lebih rendah daripada jangkaan, pertumbuhan intensiti hasil yang lebih perlahan serta kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com






