
REMBAU – Kejayaan muncul pelumba terbaik negara pada Peringkat 6 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) hari ini membuktikan Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi berada di landasan tepat untuk diangkat sebagai sandaran masa depan dalam skuad berbasikal lebuh raya negara.
Pelumba muda Malaysia Pro Cycling (MPC) berusia 22 tahun itu mempamerkan kematangan dan keberanian luar biasa apabila menamatkan perlumbaan sejauh 121.3 kilometer (km) dari Pandan Indah ke Rembau di tempat ke-16 keseluruhan, sekali gus menjadi wakil tunggal negara melintasi garisan penamat dalam kelompok hadapan.
Iqbal menamatkan perlumbaan tersebut dengan mencatat masa dua jam 40 minit lapan saat dan hanya ketinggalan lapan saat di belakang juara dari Kanada, Riley Pickrell.
Anak jati Kemaman, Terengganu itu mengakui kekangan fizikal serta ketiadaan pelumba ‘pacer’ daripada pasukannya sedikit merencatkan usahanya untuk mencabar kedudukan podium.
“Saya sudah mencuba yang terbaik. Cuma fizikal saya agak kecil dan saya bersendirian tanpa rakan sepasukan berbadan besar untuk bertindak sebagai ‘pacer’ di depan.
“Laluan hari ini sangat mencabar dan rentaknya 100 peratus laju. Memasuki satu kilometer terakhir, saya benar-benar terasa tenaga di kaki ‘sudah habis’,” katanya ketika ditemui di garisan penamat di Rembau, hari ini.
Mengulas laluannya yang merentasi kawasan latihan skuad MPC di Bukit Ampang dan Bukit Hantu, Iqbal yang membuat penampilan keduanya di LTdL berkata, intensiti perlumbaan sebenar mengajar banyak perkara berguna buat perkembangan kariernya.
“Kami memang biasa berlatih di situ, tetapi tempo perlumbaan sebenar jauh berbeza dan lebih agresif. Apabila terasa tidak mampu bertahan pada satu kilometer terakhir, saya terpaksa memperlahankan rentak seketika untuk bernafas sebelum kembali menyusup masuk ke dalam kelompok,” jelasnya.
Menjelang Peringkat 7 dari Melaka ke Batu Pahat esok yang berprofil landai, Iqbal mahu memanfaatkan tempoh rehat bagi memulihkan tenaga selepas berdepan cuaca panas terik demi membantu pasukannya memburu keputusan lebih bermakna.
Peningkatan prestasi Iqbal jelas kelihatan apabila dia berjaya memperbaiki catatan terbaiknya sebelum ini iaitu tempat ke-22 pada Peringkat 2 (Arau ke Butterworth) ketika membuat penampilan sulung pada edisi 2024. -KOSMO! ONLINE
The post LTdL 26: Iqbal Daniel curi tumpuan di Rembau appeared first on Kosmo Online.






