LYC Healthcare tangguh lagi penerbitan laporan tahunan FY26, sasarkan tarikh baharu 28 Ogos

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 6:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LYC Healthcare tangguh lagi penerbitan laporan tahunan FY26, sasarkan tarikh baharu 28 Ogos Image from: LYC Healthcare tangguh lagi penerbitan laporan tahunan FY26, sasarkan tarikh baharu 28 Ogos liza21/08/2026 - 18:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Ogos – LYC Healthcare Bhd menyasarkan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26) akan diterbitkan pada 28 Ogos 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kelewatan itu berlaku kerana beberapa perkara audit masih belum diselesaikan, terutama berkaitan anak syarikat yang telah dilupuskan.

 

“Proses audit kini berada di peringkat akhir. Antara perkara tertunggak ialah kerja audit terhadap Elite Dental Team Sdn Bhd, yang dilupuskan pada 31 Disember 2024.

 

“Juruaudit baharu, SBY Partners PLT, menghadapi kesukaran mendapatkan rekod dan maklumat Elite Dental kerana firma itu bukan juruaudit syarikat tersebut ketika tempoh pelaporan.

 

“Tiga perkara masih perlu diselesaikan, termasuk audit Elite Dental serta semakan asas dan dokumen sokongan bagi keuntungan yang direkodkan dalam keuntungan terkumpul,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Juruaudit juga sedang membuat pelarasan berkaitan aset hak guna serta memuktamadkan kaedah perakaunan bagi liabiliti cukai tertunda yang timbul daripada penyelarasan baki antara syarikat dalam kumpulan.

 

Sasaran berubah beberapa kali

LYC sebelum ini menyasarkan laporan tahunan diterbitkan pada 7 Ogos selepas melantik SBY Partners sebagai juruaudit baharu pada 6 Mac.

 

Crowe Malaysia PLT meletakkan jawatan sebagai juruaudit pada 26 Februari susulan perbezaan berkaitan yuran audit.

 

Pada 5 Ogos, SBY Partners memaklumkan penyata kewangan masih dalam semakan dan dijangka siap pada 10 Ogos.

 

Namun pada 10 Ogos, juruaudit meminta masa tambahan dan menyasarkan draf penyata kewangan dimuktamadkan antara 17 hingga 19 Ogos.

 

Pada 17 Ogos, SBY Partners meminta maklumat serta dokumen sokongan tambahan, yang menurut LYC telah diberikan pada hari sama.

 

Saham digantung sejak 10 Ogos

Pada 19 Ogos, proses audit masih tertakluk kepada penyelesaian prosedur audit dan semakan lanjut oleh SBY Partners.

 

Firma audit itu kini secara tentatif menyasarkan penyata kewangan FY26 diluluskan lembaga pengarah pada atau sebelum 28 Ogos, tertakluk kepada kerjasama penuh pengurusan LYC.

 

LYC menjangka laporan tahunan diterbitkan pada tarikh sama dan akan memaklumkan segera sekiranya sasaran itu berubah.

 

Saham LYC digantung daripada dagangan sejak 10 Ogos selepas syarikat gagal menerbitkan laporan tahunan sebelum tarikh akhir 31 Julai.

 

Laporan tahunan itu merangkumi penyata kewangan diaudit serta laporan juruaudit dan pengarah. Di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia, penggantungan kekal sehingga notis selanjutnya dan LYC boleh berdepan proses nyahsenarai jika laporan masih tertunggak selama enam bulan selepas tempoh ditetapkan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved