amree10/08/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Momentum tempahan baharu CBH Engineering Holding Berhad masih lemah dengan hanya meraih kontrak bernilai RM86 juta setakat ini, menurut analisis Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu menambah, jumlah itu bersamaan 12% daripada sasaran penambahan tempahan RM700 juta yang ditetapkan bagi 2026, namun momentum dijangka naik pada separuh kedua 2026 (2H26).
Penilaian berkenaan ujarnya disokong pelbagai tender kumpulan yang kekal kukuh pada RM1.3 bilion, dan diperkukuhkan selepas ia memperoleh kontrak terbaharu bernilai RM26.2 juta pada 6 Ogos 2026.
"Kemenangan itu meningkatkan buku tempahan terkumpul CBH kepada RM626 juta, dengan 84% daripadanya projek pusat data (DC), yang memberi keterlihatan hasil kukuh hingga 2027," kata Phillip Capital.
Jelasnya, berdasarkan andaian margin keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 14%, ia menganggarkan kontrak naik taraf pencawang itu mampu menyumbang kira-kira RM4 juta kepada keuntungan bersih.
Sebahagian besar sumbangan keuntungan daripada projek terbaharu itu dijangka diiktiraf pada 2H26, yang berpotensi memberikan dorongan kepada prestasi pendapatan kumpulan untuk baki tahun ini.

Kata Phillip Capital, pelanggan projek CBH itu beroperasi dalam sektor perindustrian berat dan sedang mempertimbangkan rancangan pengembangan selanjutnya, walaupun masih belum lagi muktamad.
"Pada masa sama, sebanyak 80% daripada saluran tender RM1.3 bilion diperoleh kumpulan ini adalah berkaitan projek DC, manakala baki 20% terdiri daripada projek bukan DC," tambag firma tersebut.
Dengan sebahagian besar saluran tender tertumpu kepada DC, ia menjangkakan momentum kontrak naik bagi baki tempoh 2026, manakala projek DC akan kekal sebagai pemacu utama pendapatan kumpulan.
Sehubungan itu, Phillip Capital terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap CBH dengan harga sasaran (TP) selama tempoh 12 bulan akan datang dijangka masih tidak berubah sebanyak 91 sen sesaham.
Syarikat berkenaan ujar firma penyelidikan berkenaan dilihat sebagai antara penerima manfaat penting daripada proses 'kitaran' pelaburan infrastruktur tenaga di Malaysia yang semakin pesat berkembang.
"Bagaimanapun, kami mengingatkan kumpulan ini perlu berdepan risiko kelewatan penganugerahan kontrak baharu, cabaran pelaksanaan projek dan peningkatan kos tambahan," katanya. - DagangNews.com






