liza28/08/2026 - 16:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos – Mah Sing Group Bhd berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan hartanah tahunannya selepas mencatatkan jualan sebanyak RM1.32 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, disokong permintaan berterusan terhadap kediaman di lokasi strategik dan berharga mampu milik.
Kumpulan itu berkata, kadar pengambilan bagi pembangunan dalam siri M kekal memberangsangkan, selain jualan berterusan daripada projek sedia ada serta beberapa pelancaran baharu yang dirancang bagi baki tahun 2026.
Mah Sing turut menjangkakan beberapa projek utama yang dijadualkan siap dalam tempoh tersebut akan menyumbang kepada aliran masuk dana daripada penyerahan milikan kosong melebihi RM250 juta.
Antara projek yang dijadualkan siap ialah M Nova di Kepong, Kuala Lumpur, rumah bertanah Fasa 3A dan 3B M Senyum di Salak Tinggi, Selangor serta Fasa 4A2 Meridin East di Johor Bahru, Johor.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026, Mah Sing mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM72.47 juta, meningkat daripada RM66.02 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM656.29 juta daripada RM565.92 juta.
Prestasi Kewangan Kekal Memberangsangkan
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026, keuntungan bersih terkumpul kumpulan meningkat kepada RM140.55 juta berbanding RM132.06 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil bagi tempoh enam bulan itu kekal tidak berubah pada RM1.22 bilion.
Sehingga akhir Jun 2026, Mah Sing mempunyai tunai dan baki bank sebanyak RM1.01 bilion, manakala nisbah hutang bersih berada pada paras 0.39 kali, mencerminkan kedudukan kewangan kumpulan yang masih kukuh.

Antara projek yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan pada separuh pertama tahun ini ialah M Nova dan M Zenya di Kepong, M Azura dan M Astra di Setapak serta M Legasi di Semenyih.
Projek lain termasuk M Senyum di Salak Tinggi serta Meridin East, M Tiara dan M Minori di Johor Bahru turut menyumbang kepada prestasi kumpulan, selain M Aspira di Taman Desa, M Terra di Puchong, Southville City di Bangi, M Panora di Rawang dan M Grand Minori di Johor Bahru.
Perniagaan Pembuatan Kembali Catat Keuntungan
Sementara itu, segmen pembuatan Mah Sing mencatatkan pemulihan apabila merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM9.7 juta berbanding kerugian operasi RM5.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pemulihan itu didorong oleh peningkatan penggunaan kapasiti kilang dalam perniagaan sarung tangan, harga jualan purata yang lebih tinggi serta langkah pengoptimuman kos selepas kumpulan melupuskan perniagaan komponen automotifnya.
Dalam perkembangan lain, Mah Sing berkata cadangan pelupusan kira-kira 78.8 ekar tanah komersial di Mah Sing DC Hub @ Southville City pada harga RM617.9 juta akan membantu kumpulan membuka nilai daripada simpanan tanah sedia untuk dibangunkan.
Pelupusan tanah itu juga akan menyediakan modal kepada Mah Sing untuk dilaburkan semula dalam peluang yang mempunyai nilai lebih tinggi, selain menyokong strategi kumpulan untuk memperluaskan sumber pertumbuhan perniagaannya.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kumpulan itu turut bercadang meneruskan strategi “menjana nilai, membangunkan dan memiliki” (“monetise, develop and own”) menerusi cadangan pembangunan pusat data kolokasi bersama pengendali yang berpengalaman.
Beliau berkata, walaupun cadangan itu masih pada peringkat awal dan tertakluk kepada penilaian lanjut, pembangunan tersebut berpotensi membuka laluan kepada Mah Sing untuk memiliki aset infrastruktur digital yang mampu menjana pendapatan berulang.
Menurutnya, perniagaan hartanah akan kekal sebagai perniagaan teras Mah Sing, manakala infrastruktur digital dilihat sebagai enjin pertumbuhan kedua bagi membantu kumpulan mempelbagaikan sumber pendapatan dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com






