
SHAH ALAM – Jaguh renang Wilayah Persekutuan, Muhammad Dhuha Zulfikry menyambar pingat emas ketiga pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 selepas memenangi acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki.
Pada acara final yang berlangsung di Pusat Akuatik Selangor, di sini hari ini, perenang berusia 18 tahun itu tidak berdepan banyak masalah untuk menamatkan saingan dengan catatan masa 4 minit 00.52 saat (s).
Lebih manis, kemenangan itu membolehkan dia mempertahankan pingat emas acara tersebut yang dimenangi dua tahun lalu pada Sukma 2024 di Sarawak.
Mengiringi Dhuha di podium adalah atlet Pulau Pinang, Samuel Lai yang meraih pingat perak menerusi catatan 4:06.45s serta Aslan Adnan dari Selangor dengan catatan 4:08.96s untuk meraih pingat gangsa.
Dalam kategori wanita, perenang tuan rumah, Chong Yuan Yi menghadiahkan pingat emas buat Selangor menerusi catatan masa 4:29.70s menewaskan Kelly Teo (4:33.52s) dari Sarawak serta atlet Pulau Pinang, Tan Rui Nee (4:34.06s).
Sementara itu, hasrat Dhuha untuk menambah koleksi pingat emas pada edisi kali ini tidak kesampaian apabila sekadar muncul naib juara dalam acara 100m kuak kupu-kupu lelaki selepas mencatat 55.96s.
Pingat emas acara tersebut dimenangi perenang Selangor, Goh Li Hen dengan catatan masa 55.86s manakala pingat gangsa menjadi milik Matthias Liew (55.99s) dari Sarawak. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Dhuha terus dominasi Pusat Akuatik Selangor appeared first on Kosmo Digital.






