
MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil langkah meningkatkan peredaran udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi memastikan suhu di kawasan berlepas dan ketibaan lebih selesa terutama pada waktu siang ketika cuaca panas.
Tindakan itu susulan maklum balas mengenai masalah pengudaraan yang kurang baik di kawasan berlepas KKIA.
KAKITANGAN MAHB memeriksa mekanisme pada panel kawalan sistem peredaran udara di KKIA bagi memastikan semuanya berfungsi dengan baik.Seorang pengguna lapangan terbang yang membawa perkara itu kepada Hotline turut memberikan tarikh dan masa kejadian berkenaan.
Maklumat tersebut kemudian disampaikan kepada pihak syarikat untuk tindakan lanjut.
Jurucakap MAHB berkata pemeriksaan berkala terhadap sistem penyaman udara dan pengudaraan lapangan terbang dijalankan sepanjang hari.
“Pemeriksaan ini dilakukan di seluruh terminal bagi memantau prestasi sistem dan mengenal pasti sebarang masalah yang memerlukan perhatian,” katanya.
Beliau berkata semua Unit Pengendalian Udara (AHU) di premis berkenaan turut diselenggara secara menyeluruh setiap suku tahun mengikut kontrak penyelenggaraan yang berkaitan.
“Penyelenggaraan peralatan ini merangkumi kerja-kerja membersihkan penapis secara berkala serta menaik taraf komponen elektrik pada panel kawalan berkaitan dengan kekerapan yang sama,” ujarnya.
Beliau berkata syarikat sentiasa berusaha menyediakan pengalaman lapangan terbang yang selesa kepada penumpang.
“Kami akan meningkatkan lagi usaha untuk memperkukuh keselesaan penumpang di seluruh terminal khususnya di kawasan yang mempunyai aliran pengguna yang tinggi,” jelasnya.
BENJY dari Penampang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keadaan bahang dan kurang selesa di kawasan berlepas KKIA pada petang Selasa baru-baru ini.
Beliau sepatutnya menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur pada ketika itu.
“Saya terpaksa mengelap dahi berkali-kali kerana berpeluh.
“Walaupun paparan suhu menunjukkan 23 darjah Celsius, keadaan di dalam terminal terasa sangat panas dan tidak selesa,” katanya.
Benjy mendakwa berasa seperti “terkepung dalam kepanasan” dan mendapat gambaran bahawa sistem penyaman udara “tidak berfungsi dengan baik”.
Dia berkata tiada sebarang pengumuman atau permohonan maaf diberikan kepada penumpang berhubung masalah pengudaraan itu, yang disifatkannya amat mengecewakan.
“Saya juga terkejut kerana tiada seorang pun kakitangan lapangan terbang kelihatan memeriksa terminal atau menyedari keadaan itu sendiri.
“Dengan begitu ramai penumpang berada di situ, masalah ini sepatutnya tidak terlepas daripada perhatian,” tambahnya.
Benjy mendakwa beliau terdengar beberapa penumpang merungut mengenai keadaan yang “sangat bahang” ketika itu.
“Sebagai pintu masuk antarabangsa, Sabah benar-benar perlu melakukan yang lebih baik bagi memastikan pelawat mendapat gambaran pertama yang baik mengenai negeri ini,” katanya memberikan pandangan.
Sementara itu jurucakap syarikat berkata semakan terhadap rekod mendapati dua AHU mengalami kerosakan pada hari kejadian.
“Ini merupakan kerosakan terpencil yang melibatkan kawasan tertentu, manakala sistem penyaman udara keseluruhan terminal masih beroperasi,” maklumnya.
Beliau berkata tindakan segera diambil untuk menangani masalah pada AHU yang terjejas.
“Kerja pembaikan segera dilakukan bagi mengatasi masalah limpahan pada sistem saliran unit berkenaan,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata penumpang berkemungkinan mengalami “ketidakselesaan sementara di kawasan tertentu” kerana suhu mengambil sedikit masa untuk kembali stabil selepas kerja pembaikan selesai.






