amree12/11/2026 - 09:10 Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Penganjuran Grand Prix Formula 1 (F1) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober 2026 menelan belanja RM70 juta yang ditanggung Malaysia, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan kerajaan memperuntukkan RM16 juta bagi penyelenggaraan dan penaiktarafan litar itu.
Jumlah berkenaan turut melebihi anggaran RM40 juta yang dikemukakan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif pada Julai 2026 bagi persiapan tempatan menjelang perlumbaan berkenaan.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari berkata, keseluruhan kos penganjuran perlumbaan tersebut yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 dianggarkan RM350 juta, termasuk bayaran penganjuran dan persiapan di litar.
Katanya, bahagian Malaysia sebanyak RM70 juta meliputi kos penyelenggaraan dan operasi litar, manakala baki perbelanjaan ditanggung sendiri oleh Bahrain.
Bagaimanapun, kementerian tidak memperincikan perbezaan antara angka RM70 juta yang dinyatakan dalam jawapan bertulis itu dengan anggaran RM16 juta oleh Perdana Menteri serta RM40 juta oleh pihak SIC sebelum ini.
"Perlumbaan itu menjana aktiviti ekonomi dianggarkan RM950 juta berdasarkan angka Formula One Management (FOM), merangkumi perbelanjaan sektor perhotelan, pelancongan, penerbangan, pengangkutan, makanan dan minuman serta perkhidmatan lain," kata Taufiq.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menerusi laman web rasmi Parlimen bagi menjawab soalan Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berhubung kos penganjuran F1 Bahrain di Sepang serta manfaat ekonomi yang diperoleh Malaysia.
Penganjuran itu turut mewujudkan kira-kira 7,300 peluang pekerjaan, dengan 6,167 daripadanya dalam sektor perniagaan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pengunjung, 757 melibatkan operasi perlumbaan serta infrastruktur, manakala 376 lagi membabitkan pasukan F1, penaja dan operasi perlumbaan.
Kementerian berkenaan namun tidak mendedahkan jumlah kutipan diperoleh kerajaan menerusi cukai, fi dan hasil sewaan yang diterima menerusi penganjuran acara pemotoran berprestij tersebut.
"SIC bersama firma perunding yang dilantik masih menjalankan penilaian terhadap kos penganjuran dan manfaat ekonomi yang dijana bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai impak perlumbaan itu," jelas beliau.
Dapatan penilaian berkenaan ujar Taufiq, akan menjadi asas kepada kerajaan untuk menentukan sama ada Malaysia wajar menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada masa hadapan.
Perlumbaan F1 Bahrain dipindahkan ke Sepang susulan konflik di Timur Tengah, sekali gus menandakan kepulangan sukan itu ke Malaysia buat kali pertama sejak 2017. Malaysia pernah menjadi tuan rumah Grand Prix F1 dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu dihentikan berikutan peningkatan kos penganjuran. - DagangNews.com






