amree12/11/2026 - 10:40 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menanggung sepenuhnya kos pelarasan bahan api automatik (AFA) bagi empat bulan terakhir 2026, sebagai inisiatif perlindungan bil elektrik isi rumah yang diperluas dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu membabitkan kos keseluruhan dianggarkan RM248 juta bagi tempoh empat bulan bermula September hingga Disember, termasuk komponen AFA, caj peruncitan dan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Daripada jumlah tersebut jelas beliau, kos komponen AFA dianggarkan RM180 juta, dengan kerajaan dan TNB berkongsi perbelanjaan bagi September 2026, sebelum TNB menanggung secara keseluruhannya mulai Oktober hingga Disember 2026.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, TNB turut menyerap sepenuhnya kos caj peruncitan yang berjumlah RM36 juta sepanjang tempoh empat bulan berkenaan.
"Sementara itu, kerajaan akan menanggung kos pengecualian SST sebanyak RM32 juta sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan beban perbelanjaan elektrik isi rumah," kata Fadillah dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan).
Wakil rakyat tersebut ingin mengetahui mengenai mekanisme perkongsian kos perlindungan bil elektrik serta cadangan menaikkan had penggunaan bulanan kepada 1,000kWj susulan peningkatan penggunaan elektrik ketika cuaca panas dan berjerebu.

Tambah Fadillah, kerajaan menyambut baik cadangan menaikkan had perlindungan bil elektrik domestik kepada 1,000kWj sebulan, namun pelaksanaannya memerlukan penilaian menyeluruh terhadap implikasi kewangan, sumber pembiayaan, jumlah pengguna yang bakal mendapat manfaat dan keberkesanan bantuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perluasan perlindungan bil elektrik pada September lalu bagi mengecualikan isi rumah dengan penggunaan sehingga 800kWj sebulan daripada surcaj menerusi mekanisme AFA, berkuat kuasa dari September hingga Disember ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kementerian bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) dan TNB mengkaji penambahbaikan mekanisme AFA untuk pelaksanaan pada 2027, dengan mengambil kira corak penggunaan elektrik, perubahan kos bahan api serta kos penjanaan bagi kategori pengguna domestik dan bukan domestik.
"Kajian itu turut meneliti pendekatan pengagihan kos yang lebih adil dan bersasar berdasarkan prinsip 'causer-pays', iaitu kos tambahan penjanaan elektrik diagihkan mengikut kategori pengguna yang menyumbang kepada kos berkenaan," jelas beliau.
Fadillah berkata, penilaian itu juga akan mengambil kira kemampuan pengguna, daya saing sektor industri dan kemampanan kewangan industri bekalan elektrik sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung peluasan lanjut perlindungan bil elektrik. - DagangNews.com





