Malaysia boleh sertai rantaian penjanaan tenaga nuklear tanpa perlu bina loji reaktor terlebih dahulu - CGSI

LocalEnvironment
17 Aug 2026 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia boleh sertai rantaian penjanaan tenaga nuklear tanpa perlu bina loji reaktor terlebih dahulu - CGSI Image from: Malaysia boleh sertai rantaian penjanaan tenaga nuklear tanpa perlu bina loji reaktor terlebih dahulu - CGSI hamden17/08/2026 - 14:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Malaysia boleh mengambil bahagian dalam rantaian nilai tenaga nuklear tanpa perlu membina terlebih dahulu reaktor dan sisten khususnya, menurut CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan padangan pakar tenaga nuklear, Dr Ming Tan, pembinaan reaktor dan sistem hanya menyumbang kira-kira 25% hingga 30% daripada keseluruhan loji kuasa nuklear (NPP).

 

Sebaliknya, Ketua Amalan Global – Nuklear di Mott MacDonald itu berkata, sekitar 70% hingga 75% baki kerja melibatkan infrastruktur yang lebih konvensional iaitu bidang yang Malaysia sudah mempunyai keupayaan kukuh.

 

Katanya Malaysia memiliki keupayaan sedia ada itu khususnya dalam bidang kejuruteraan, pembinaan, elektronik dan instrumentasi.

 

"Malaysia tidak perlu komited untuk membina NPP terlebih dahulu bagi mengambil bahagian dalam rantaian nilai nuklear," katanya dalam webinar Tenaga Nuklear di Asia Tenggara: Status, Laluan dan Peranan Malaysia pada 13 Ogos 2026.

 

Webinar itu dikendalikan oleh Datuk N.K. Tong, seorang pejuang tenaga nuklear.

 

Bekalan Elektrik Bersih

Menurut Dr Ming, kebangkitan semula tenaga nuklear di peringkat global didorong oleh keperluan mendapatkan bekalan elektrik yang bersih, stabil dan berdaya tahan.

 

Faktor geopolitik turut meningkatkan keutamaan terhadap keselamatan tenaga, manakala pusat data (DC) menjadi antara pemacu baharu permintaan terhadap bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan rendah karbon.

 

Dalam konteks ASEAN, tahap kesiapsiagaan negara anggota terhadap tenaga nuklear kini berada pada tahap berbeza.

 

Vietnam dilihat antara negara paling maju dari segi persediaan selepas menghidupkan semula rancangan bagi projek nuklear berskala besar.

 

Indonesia pula berpotensi menggunakan reaktor modular kecil (SMR) atau reaktor terapung, mengambil kira lebih 17,000 pulau serta taburan permintaan industrinya.

 

Thailand mengambil pendekatan pragmatik dengan mengekalkan pelbagai pilihan teknologi, manakala Singapura mengamalkan strategi mengutamakan keupayaan dengan menilai teknologi, aspek keselamatan dan keperluan pelaksanaan.

 

Filipina pula mempunyai kelebihan tersendiri menerusi Loji Kuasa Nuklear Bataan berkapasiti 620MW yang telah siap tetapi tidak pernah beroperasi.

 

Kerjasama Serantau Penting

Oleh itu katanya, kerjasama serantau dilihat berpotensi mengurangkan kos dan mempercepatkan pelaksanaan tenaga nuklear di ASEAN.

 

"Negara anggota boleh bekerjasama dalam penilaian teknologi, berkongsi kepakaran kawal selia dan menyeragamkan keperluan penilaian kualiti bagi mengurangkan pertindihan serta kos pembekal," tambahnya.

 

Dalam pada itu, CGSI mengekalkan pandangan 'Overweight' terhadap sektor utiliti Malaysia, dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) sebagai pilihan utama sektor.

 

Menurutnya, Malaysia kini memasuki kitaran pelaburan yang menarik dalam tempoh lebih sedekad, beralih daripada peralihan tenaga yang diterajui solar kepada pengembangan kapasiti tenaga yang lebih meluas.

 

"Kitaran peningkatan itu disokong keterlihatan permintaan untuk beberapa tahun akan datang serta hala tuju dasar yang jelas.

 

"Pelaksanaan dasar yang berjaya, khususnya yang membolehkan pengembangan kapasiti dipercepatkan, dilihat sebagai pemangkin kepada penilaian semula sektor," katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved