Malaysia Jadi Tuan Rumah Bengkel Sekuriti Nuklear Serantau, Himpun Pakar Dari 10 Negara

27 Jul 2026 • 2:29 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Malaysia Jadi Tuan Rumah Bengkel Sekuriti Nuklear Serantau, Himpun Pakar Dari 10 Negara

Malaysia Jadi Tuan Rumah Bengkel Sekuriti Nuklear Serantau, Himpun Pakar Dari 10 Negara

Malaysia sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkukuh keselamatan nuklear di peringkat antarabangsa apabila menjadi tuan rumah Bengkel Serantau Pengurusan Sekuriti Nuklear Bersepadu (Integrated Security Management) yang menghimpunkan pakar serta pegawai dari 10 negara.

Bengkel anjuran Department of Energy/National Nuclear Security Administration (DOE/NNSA) Amerika Syarikat dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia itu berlangsung dari 27 hingga 30 Julai 2026 di Hotel Marriott Putrajaya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, yang menekankan kepentingan kerjasama rentas negara dalam memperkukuh sistem sekuriti nuklear.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, sekuriti nuklear memerlukan persefahaman dan kerjasama yang kukuh di peringkat nasional serta antarabangsa bagi memastikan sebarang ancaman dapat ditangani secara berkesan.

Menurut beliau, pendekatan Pengurusan Sekuriti Bersepadu (Integrated Security Management) mampu memastikan aspek sekuriti nuklear diberi keutamaan dalam setiap perancangan, operasi harian dan proses membuat keputusan sesebuah organisasi yang mengendalikan bahan atau kemudahan nuklear.

“Pendekatan ini memastikan setiap pihak memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing supaya tindakan yang cekap serta bersepadu dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau insiden sekuriti nuklear,” katanya.

Baca juga:

Seramai 31 peserta dari Malaysia, Republik Rakyat China, Mongolia, Singapura, Indonesia, Thailand, Kazakhstan, Uzbekistan, Sri Lanka, Filipina dan Vietnam menyertai bengkel tersebut.

Menurut Agensi Nuklear Malaysia, penganjuran bengkel itu mencerminkan komitmen negara dalam menyokong usaha berterusan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang sekuriti nuklear, selain meningkatkan keupayaan profesional melalui perkongsian kepakaran teknikal dan pemindahan ilmu.

Ujarnya, inisiatif berkenaan turut memperkukuh hubungan antara negara serantau menerusi pembangunan kapasiti, perkongsian amalan terbaik serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa.

“Penganjuran bengkel ini juga selaras dengan matlamat dokumen Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) INFCIRC/908 dalam menyokong usaha mitigasi ancaman dalaman terhadap keselamatan nuklear di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan kepada latihan praktikal dalam pengurusan krisis sekuriti nuklear menerusi pelbagai simulasi yang direka bagi menguji tahap kesiapsiagaan menghadapi ancaman.

Menurut kenyataan itu, latihan berkenaan memberi penekanan kepada pendekatan sistematik dalam mengenal pasti ancaman, menilai risiko serta melaksanakan tindakan balas yang pantas, tepat dan berkesan sekiranya berlaku insiden melibatkan bahan atau kemudahan nuklear.

Dalam pada itu, Agensi Nuklear Malaysia berkata pihaknya akan terus komited menyokong agenda kerajaan untuk memperkukuh ekosistem sekuriti nuklear negara melalui pembangunan modal insan, peningkatan kompetensi teknikal serta jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.

Katanya, usaha itu selaras dengan pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030) dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030, yang menggariskan penggunaan teknologi nuklear secara selamat, terjamin dan aman demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved