sarah06/11/2026 - 18:23 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - Malaysia mahu kepentingan pekebun kecil dan sektor perdagangan komoditi negara diberikan pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), khususnya berkaitan keperluan pematuhan serta kebolehkesanan rantaian bekalan.
Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, pelaksanaan peraturan itu menimbulkan cabaran kepada pihak berkepentingan dalam industri komoditi, terutama pekebun kecil yang perlu memenuhi keperluan kebolehkesanan bagi memastikan produk mereka mematuhi ketetapan Kesatuan Eropah (EU).
Menurut kementerian itu, Malaysia akan terus memperkukuh pendekatan bersepadu antara kementerian, agensi teknikal dan perwakilan diplomatik bagi memastikan kebimbangan pihak yang terkesan mendapat perhatian dalam perbincangan dengan EU.
Usaha berkenaan turut bertujuan melindungi kepentingan perdagangan dan ekonomi negara, di samping memastikan komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar serta pengeluaran komoditi secara bertanggungjawab terus diiktiraf.
Pekebun kecil dan rantaian bekalan jadi tumpuan
Bagi menyelaraskan pendirian negara, KLN mengadakan Taklimat Khas Mengenai EUDR di Wisma Putra, Putrajaya pada Jumaat, yang menghimpunkan Ketua-Ketua Perwakilan Malaysia di luar negara serta wakil kementerian dan agensi berkaitan menerusi sesi secara hibrid.
Taklimat itu turut melibatkan lima ahli panel, termasuk Duta Besar Malaysia ke Belgium dan Luxembourg merangkap Ketua Perwakilan Malaysia ke EU, selain wakil Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Perbincangan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan negara menghadapi pelaksanaan EUDR, keperluan kebolehkesanan rantaian bekalan, komitmen kelestarian serta cabaran pelaksanaan peraturan itu, khususnya terhadap pekebun kecil.
KLN berkata, pandangan dan maklum balas yang diperoleh akan digunakan untuk mengenal pasti keutamaan strategik Malaysia, selain memanfaatkan rangkaian diplomatik negara bagi memperkukuh dialog dengan institusi serta negara anggota EU supaya kepentingan ekonomi dan kebimbangan pihak yang terkesan diberikan pertimbangan sewajarnya.- DagangNews.com






