
GEORGE TOWN : Malaysia merekodkan jumlah dagangan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM1.796 trilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sehingga Jun yang menyaksikan peningkatan sebanyak 22.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin, peningkatan tersebut didorong oleh pertumbuhan kukuh sektor eksport terutamanya melibatkan produk elektrik dan elektronik (E&E).
Beliau berkata, eksport negara turut melonjak sebanyak 27.5 peratus kepada RM971.6 bilion manakala sektor import pula meningkat sebanyak 16.9 peratus kepada RM824.4 bilion.
“Malaysia juga berjaya merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM147.1 bilion berbanding hanya RM56.6 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas dengan jumlah perdagangan pada bulan Jun mencecah RM340.88 bilion iaitu nilai bulanan tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan kepada orang ramai termasuk penjaja serta peniaga di premis makanan di Sungai Nibong di sini, hari ini.
Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata, produk E&E termasuk semikonduktor yang menjadi teras kepada pertumbuhan sektor eksport menyumbang hampir separuh kepada kepada sektor tersebut iaitu sebanyak 42.5 peratus.
Katanya, ini diikuti oleh produk berkaitan mesin serta peralatan teknologi lain sebanyak 12.6 peratus sekali gus menjadikan lebih separuh daripada sektor eksport negara antara Januari hingga Jun tahun ini disumbangkan menerusi produk yang berasaskan teknologi.
“Kita (Malaysia) kini sedang bergerak secara beransur-ansur ke arah menjadi sebuah negara berteknologi, dengan produk-produk ini (E&E, mesin serta barangan berteknologi tinggi) menyumbang lebih separuh daripada jumlah eksport negara.
“Jadi, ini merupakan satu kisah kejayaan bagi Malaysia dan kita seharusnya berbangga dengan pencapaian ini,” ujar beliau.-UTUSAN
The post Malaysia rekod dagangan tertinggi RM1.796 trilion sehingga Jun appeared first on Utusan Malaysia.





