amree07/10/2026 - 14:20 NORAINI Ahmad ketika berucap pada Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) KL 2026 anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC). Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Malaysia berusaha memperkukuh kerjasama perdagangan dan meneroka pasaran baharu bagi minyak sawit ketika eksport komoditi berkenaan terus mencatat pertumbuhan di beberapa pasaran utama dan sedang berkembang.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, eksport meningkat 8.2% kepada lebih 10.4 juta tan, manakala pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) mencapai 12.6 juta tan.
Justeru tambah beliau kepelbagaian pasaran adalah penting untuk meningkatkan daya tahan industri sawit Malaysia, selain membuka peluang memperkenalkan produk bahan komoditi tersebut kepada lebih ramai pengguna antarabangsa.
"Eksport Malaysia ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara melonjak kira-kira 23%, diikuti Amerika sebanyak 15%, Asia Selatan (11%) dan Afrika Sub-Sahara (10%) dalam tempoh hanya lapan bulan pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu," jelasnya lagi.

Perkembangan positif itu disuarakan beliau ketika berucap pada Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) KL 2026 anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) yang menghimpunkan ramai pembuat dasar, pemain industri, dan pedagang komoditi global.
Sementara itu, Pengerusi MPOC, Datuk Carl Bek-Nielsen berkata, strategi pembangunan pasaran MPOC kini semakin didapati memberi tumpuan kepada rantau yang mempunyai prospek pertumbuhan permintaan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.
Sehubungan itu, MPOC memindahkan pejabat serantau Afrika Sub-Sahara dari Johannesburg, Afrika Selatan ke Nairobi, Kenya, selain membuka cawangan di Lagos, Nigeria dan Chennai, India bagi memperkukuh perdagangan pasaran tersebut.
"Lebih 100 pembeli antarabangsa dari lebih 20 negara turut menyertai program Trade Networking Visit (TNV), manakala MPOC BizMatch pada 8 Oktober 2026 menemukan pembeli antarabangsa dengan pembekal Malaysia menerusi lebih 400 sesi pertemuan perniagaan," katanya.

Industri sawit Malaysia kekal berorientasikan eksport dengan lebih 80% pengeluaran disalurkan ke pasaran dunia, manakala eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit menjana RM115 bilion pada 2025 serta menyumbang hampir 3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Pada masa sama, MPOC turut memberi tumpuan kepada penyelidikan bagi meningkatkan nilai produk sawit menerusi penganjuran sulung Malaysian Palm Oil Scientific Series (MPOSS) 2026 pada 8 Oktober 2026, yang menumpukan penggunaan sebatian bioaktif dalam bidang makanan, dan kesihatan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, pembangunan pasaran dan penyelidikan saintifik perlu bergerak seiring bagi mewujudkan permintaan, membangunkan aplikasi baharu dan meningkatkan nilai minyak sawit Malaysia.
"Pendekatan ini melengkapi usaha MPOC memperluas pasaran, memudah cara perdagangan, menggalakkan inovasi berasaskan sains serta menghasilkan produk sawit yang bernilai lebih tinggi," tambahnya. - DagangNews.com






