Straits Energy intai projek pusat data, solar dan bandar pintar, EPCC berpotensi sumbang 25% keuntungan kumpulan

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 9:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Straits Energy intai projek pusat data, solar dan bandar pintar, EPCC berpotensi sumbang 25% keuntungan kumpulan Image from: Straits Energy intai projek pusat data, solar dan bandar pintar, EPCC berpotensi sumbang 25% keuntungan kumpulan sarah27/10/2026 - 09:48 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR, 27 Okt - Straits Energy Resources Bhd (Straits Energy) mengintai peluang kontrak bernilai tinggi dalam sektor pusat data, tenaga solar dan infrastruktur bandar pintar menerusi pengembangan perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan minyak dan perkapalan.

 

Berdasarkan cadangan kepelbagaian perniagaan yang diumumkan pada Ogos lalu, aktiviti EPCC dijangka berkembang sehingga berpotensi menyumbang sekurang-kurangnya 25% daripada keuntungan bersih kumpulan. Angka berkenaan merupakan ambang bagi cadangan kepelbagaian perniagaan dan bukannya jaminan pencapaian keuntungan.

 

Pengerusinya, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkata, pengembangan itu bertujuan membuka sumber pendapatan dan aliran tunai baharu, selain membolehkan kumpulan menyertai projek dalam sektor minyak dan gas, perindustrian berteknologi tinggi, infrastruktur awam, utiliti, penjagaan kesihatan serta pendidikan.

 

"Matlamat kami bukan sekadar menambah satu lagi segmen perniagaan, sebaliknya membangunkan keupayaan pelaksanaan projek bersepadu secara berperingkat yang melengkapi perniagaan sedia ada dan membolehkan kumpulan menyertai lebih banyak projek," katanya dalam Laporan Tahunan 2026 Straits Energy.

 

Antara peluang khusus yang sedang diteroka ialah pembangunan limbungan kapal pintar menerusi Straits CommNet Solutions Sdn Bhd (SCS) bersama Horizon Shipyard Inter Globe (M) Sdn Bhd, yang merangkumi penggunaan tenaga solar, sistem pengawasan berasaskan kecerdasan buatan (AI), pemantauan dron dan sistem perusahaan digital. Memorandum persefahaman (MoU) bagi cadangan itu telah dilanjutkan sehingga 19 Ogos 2027 bagi membolehkan kedua-dua pihak meneruskan penilaian kerjasama tersebut.

 

eng

 

Menurut Tengku Baharuddin, rancangan pengembangan EPCC itu disokong oleh pemerolehan tambahan 18% kepentingan ekuiti secara langsung dalam SCS pada Mei 2026 dengan nilai kira-kira RM6.06 juta. SCS merupakan kontraktor Gred G7 berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), yang membolehkannya melaksanakan projek kejuruteraan awam dan pembinaan bangunan tanpa had nilai kontrak, tertakluk kepada syarat berkaitan.

 

"Pengembangan yang dicadangkan ini merupakan lanjutan semula jadi kepada keupayaan sedia ada kumpulan dan bertujuan memperluas sumber pendapatan serta aliran tunai, di samping mengurangkan kebergantungan kepada satu segmen perniagaan," katanya.

 

Strategi berkenaan dilaksanakan ketika Straits Energy berdepan tekanan kewangan selepas mencatatkan kerugian bersih RM90.87 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, dengan hasil sebanyak RM2.30 bilion. Segmen pembekalan bahan api kapal dan perkhidmatan berkaitan perkapalan kekal penyumbang terbesar, merangkumi 97.22% daripada hasil kumpulan atau RM2.23 bilion.

 

Prestasi perniagaan teras itu terjejas akibat ketegangan geopolitik dan gangguan laluan perkapalan antarabangsa, khususnya di sekitar Selat Hormuz, yang menyebabkan kelewatan kapal, perubahan laluan serta gangguan bekalan minyak. Jumlah bahan api kapal yang dijual turut menyusut 10.13% sepanjang tahun kewangan berkenaan.

 

Selain EPCC, kumpulan turut meneroka peluang dalam sektor bahan api marin mampan menerusi anak syarikatnya, TMD Energy Limited, yang melanjutkan perjanjian awal dengan Double Corporate Sdn Bhd sehingga Jun 2028 bagi menilai potensi pembangunan bahan api bio berasaskan sisa untuk pasaran Malaysia, Asia dan Eropah. Kerjasama itu masih di peringkat penerokaan dan tertakluk kepada rundingan lanjut.

 

Dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan, Straits Energy turut mencadangkan pengurangan modal sebanyak RM90 juta bagi mengimbangi sebahagian kerugian terkumpul dan menyusun semula struktur modalnya, selain menyelesaikan pelupusan perniagaan pengangkutan darat tertentu pada September 2026 untuk memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan baharu.

 

Mengulas prospek kumpulan, Tengku Baharuddin berkata, Straits Energy kekal optimis secara berhati-hati terhadap peluang pertumbuhan, namun akan memastikan pengembangan perniagaan dilaksanakan secara berdisiplin dengan mengambil kira kemampuan kewangan, pemilihan projek dan pengurusan risiko bagi membina perniagaan yang lebih kukuh serta mempunyai sumber pendapatan lebih pelbagai.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved