
KUALA LUMPUR – “Siapa lagi yang boleh faham kakak selain mama?”
Demikian luahan pilu pelakon Elfira Loy selepas kehilangan ibunya, Filzah Yusoff, 61, yang bukan sahaja menjadi tempat bergantung, malah individu penting di sebalik perjalanan hidup dan karier seninya.
Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 32, berkata, pemergian insan tersayang itu meninggalkan kekosongan besar kerana arwah turut berperanan sebagai sahabat baik, pengurus, penata gaya, penasihat dan penjaganya.
“Tak tahu nak cakap macam mana, ma. Kakak bukan sahaja kehilangan seorang ibu, tetapi teman baik, seorang yang menguruskan kerja kakak, penata gaya, penasihat, penjaga dan paling penting, satu-satunya orang yang faham kakak.
“Mama, siapa lagi yang boleh faham kakak yang suka pendam dan tak bercakap ini selain mama?” luahnya menerusi Instagram.
Elfira mengakui hatinya hiba melihat keadaan ibunya ketika menerima rawatan di hospital. Namun, dia reda dan menganggap tempoh berkenaan sebagai ruang yang diberikan Allah SWT untuk mereka sekeluarga bersedia menghadapi perpisahan.
“Allah memang sayang mama. Allah tahu mama sayang kami dan mahu kami senang, Allah tidak tarik nyawa mama terus.
“Allah beri kami ‘praktis’ hari-hari melawat mama di hospital tanpa boleh berborak dengan mama. Hanya berbekalkan bacaan Yasin menjadi perbualan kita,” katanya.
Menurut Elfira, dia turut bersyukur apabila pemergian ibunya diiringi doa serta kehadiran ramai kenalan yang datang menziarahi arwah pada saat-saat akhir.
Baginya, keadaan itu menggambarkan betapa arwah disenangi dan disayangi oleh ramai individu sepanjang hayatnya.
“Kakak percaya, tiada pengakhiran yang lebih baik daripada ini. Mama pergi dengan cinta, dalam doa dan setelah ramai datang menziarah.
“Mama amat disayangi, sentiasa disayangi dan selamanya disayangi,” ujarnya.
Elfira berjanji akan meneruskan kehidupan dengan berpegang kepada kasih sayang, doa dan nilai keagamaan yang ditinggalkan ibunya.
“Kakak akan terus hidup dengan cinta yang mama ajarkan, dengan doa yang mama tinggalkan dan dengan Allah yang mama cintai sepenuh hati. Kakak sayang mama,” katanya.
Terdahulu, Elfira mengumumkan berita pemergian ibunya serta memohon orang ramai mendoakan agar Allah SWT mengampuni dosa arwah dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Pada 6 Ogos lalu, pelakon drama Qalisya itu memaklumkan ibunya dijadualkan menjalani prosedur perubatan berisiko tinggi tanpa mendedahkan secara terperinci masalah kesihatan yang dialami.
Difahamkan, arwah berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa ditidurkan serta menjalani prosedur intubasi di sebuah hospital.
The post “Mama segalanya buat kakak” – Elfira Loy appeared first on MYBERITA.






