PKR tak tergugat ahli tinggalkan parti

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 6:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PKR tak tergugat ahli tinggalkan parti

MELAKA – Tindakan segelintir ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti itu untuk menyertai entiti politik lain tidak menggugat kestabilan serta kelancaran organisasi berkenaan secara keseluruhan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Ahmad Munim berkata, walaupun terdapat ahli yang memilih untuk beralih arah atas alasan hilang kepercayaan, sayap pemuda PKR itu menghormati keputusan tersebut sebagai hak peribadi masing-masing.

“Saya tak tahulah peratusan (yang keluar parti), tetapi mengikut laporan dan angka kita, jumlah itu tidak signifikan dan sama sekali tidak menjejaskan perjalanan organisasi.

“Hari ini kita boleh lihat bahawa parti ini terus mengukuh dan kehadiran para perwakilan dengan jumlah yang sangat tinggi itu menunjukkan ataupun melambangkan komitmen serta tekad mereka untuk terus bersama dengan PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersempena dengan Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Muhammad Kamil berkata demikian bagi mengulas dakwaan pengasas bersama Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa kira-kira 25 peratus keahlian parti baharu itu terdiri daripada bekas ahli PKR.

Menyentuh tentang status Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang kini sedang bercuti, beliau berkata perkara itu tidak memberikan implikasi negatif terhadap momentum parti.

Beliau berkata gerak kerja parti tetap berjalan menerusi penyelarasan tugasan termasuk mandat yang digalas Naib Presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Seri Amirudin Shari.

“Saya rasa tidak menjejaskan sebarang usaha kita untuk terus memperkukuh organisasi, bersiap siaga untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan juga Pilihan Raya Umum (PRU) dan pembahagian tugas itu telah dibuat secara jelas.

“Penjelasan pada peringkat akar umbi juga telah dibuat oleh pimpinan peringkat negeri dan juga peringkat cabang serta mereka (ahli parti) menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka, fokusnya (sekarang) ialah untuk terus memperkukuh dan memperkasakan organisasi,” katanya. – Kosmo! Online

The post PKR tak tergugat ahli tinggalkan parti appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved