Margin projek semakin lemah dorong Phillip Capital hentikan liputan ke atas T7 Global

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Margin projek semakin lemah dorong Phillip Capital hentikan liputan ke atas T7 Global Image from: Margin projek semakin lemah dorong Phillip Capital hentikan liputan ke atas T7 Global amree26/08/2026 - 14:56 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos — Margin projek yang semakin lemah, kos kewangan lebih tinggi dan kelewatan projek sistem pengendalian bagasi (BHS) di KLIA terus menjadi cabaran kepada T7 Global Berhad.

 

Keadaan tersebut menyebabkan keputusan kewangan bagi tempoh separuh pertama 2026 kumpulan itu berada di bawah jangkaan Phillip Capital dengan keuntungan bersih yang hanya berjumlah RM17.6 juta.

 

Ujar firma penyelidikan berkenaan, meskipun meningkat kira-kira 13% berbanding tahun sebelumnya, tetapi disifatkan sebagai lemah dan hanya mencapai sebanyak 44% daripada unjuran setahun penuhnya.

 

"Kelemahan prestasi T7 berpunca daripada margin projek yang lebih rendah daripada jangkaan dan kos kewangan yang lebih tinggi, meskipun hasil kumpulan meningkat 20% kepada RM373 juta," tambahnya.

 

Pertumbuhan hasil disokong pengebilan projek BHS selepas penyusunan semula perjanjian pada suku keempat 2025 dan kontrak baharu perkhidmatan kerja baik pulih hidraulik yang bermula pada Mac 2026.

 

Bagaimanapun ujar Phillip Capital, margin kasar susut kepada 17.2% berikutan campuran projek yang kurang menguntungkan, manakala kos kewangan naik 11% dan kadar cukai efektif turut lebih tinggi.

 

T7 Global_DagangNews2026

 

Bagi suku kedua 2026, keuntungan bersih teras T7  melonjak 43% berbanding suku sebelumnya kepada RM10.4 juta, didorong penyambungan semula aktiviti selepas musim tengkujuh dalam segmen tenaga.

 

"Hasil naik 2% kepada RM189 juta apabila peningkatan ketara segmen tenaga susulan penyambungan semula aktiviti mengatasi penurunan sumbangan daripada segmen rumusan perindustrian," katanya.

 

Keuntungan kasar jelas Phillip Capital turut meningkat 8% kepada RM33.3 juta, dan margin bertambah kepada 18%, mencerminkan kesan operasi yang lebih baik daripada sumbangan kukuh segmen tenaga.

 

Namun, ia menjangkakan aktiviti segmen rumusan perindustrian T7 kekal perlahan berikutan kelewatan projek BHS, yang kini dijangka siap pada suku keempat 2028 berbanding sasaran awal Disember 2025.

 

Firma itu juga menjangkakan margin projek kumpulan yang lebih lemah dan kos kewangan semakin tinggi akan terus menekan margin keuntungan bersih teras syarikat berkenaan sendiri dalam tempoh terdekat.

 

"Justeru, kami memutuskan untuk menghentikan liputan ke atas saham kumpulan ini atas faktor margin lebih lemah susulan pengagihan semula sumber dan kecairan dagangan saham yang rendah," tambahnya.

 

Ia turut memberikan saranan terakhirnya terhadap saham T7 iaitu 'pegang' dengan harga sasaran (TP) selama 12 bulan akan datang diunjur sebanyak 27 sen. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved