Sukma 2026: Danish belum rasa puas hati

20 Aug 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Danish belum rasa puas hati

SELEPAS menggegarkan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 dengan tiga pingat emas dan tiga rekod kejohanan, jaguh pecut Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee percaya dia masih belum mencapai had sebenar kemampuannya.

Keyakinan itu hadir selepas pelari berusia 19 tahun tersebut mencatat 20.85 saat (s) ketika memenangi final 200 meter (m), hanya 0.52s dipisahkan daripada rekod kebangsaan 20.33s miliknya sendiri.

Malah, catatan tersebut merupakan kali ketiga Danish berjaya berlari di bawah 21s, sekali gus memberikan keyakinan bahawa rekod kebangsaan berkenaan mampu diperbaharui sekiranya terus diberikan peluang mengembangkan potensinya dalam acara 200m.

“Saya percaya mampu memperbaharui catatan terbaik peribadi yang juga rekod kebangsaan. Saya berharap dapat terus beraksi dalam 200m, tetapi untuk tahun ini, saya dan jurulatih memang menyasarkan untuk memberikan fokus kepada 100m terlebih dahulu,” katanya.

Danish percaya masih ada ruang untuknya meningkatkan prestasi terutama sekiranya aspek pemulihan dan pemakanan dapat diberikan perhatian sebaiknya dalam usaha membantunya mencapai tahap optimum.

Pada Sukma kali ini, Danish membuktikan versatiliti luar biasanya apabila menyapu emas 100m dan 200m, selain membantu kuartet 4x100m Johor muncul juara dengan ketiga-tiga acara tersebut menyaksikannya mencipta rekod baharu kejohanan.

Prestasi sensasi itu secara tidak langsung meletakkan Danish sebagai antara calon untuk dinobatkan Olahragawan Sukma Selangor 2026, namun dia enggan terlalu memikirkan mengenai pengiktirafan individu tersebut.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menjadi Olahragawan. Saya cuma mahu melakukan yang terbaik dalam setiap acara. Kalau ada rezeki untuk Olahragawan, Insya-Allah saya mengharapkannya juga, tetapi semuanya atas rezeki Allah,” ujarnya.

The post Sukma 2026: Danish belum rasa puas hati appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved