HULU TERENGGANU - Seorang wanita berusia 23 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan penemuan mayat bayi tanpa kepala di Taman Perumahan Padang Setengge di sini pada Jumaat.
Perintah reman bermula Ahad hingga 21 Oktober depan dikeluarkan Majistret Nur Athirah Hashim di Mahkamah Majistret Kuala Berang di sini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes itu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab memaklumkan suspek ditahan polis jam 3.30 petang pada Sabtu.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyembunyikan kelahiran secara sulit dengan membuang mayat, sama ada bayi berkenaan meninggal dunia sebelum, semasa atau selepas dilahirkan.
Jika sabit kesalahan boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Sebelum ini, kes itu terbongkar apabila seorang wanita lain dilaporkan menemui mayat bayi yang hanya tinggal sebelah tangan dan kedua-dua kaki sewaktu sedang membasuh pakaian di belakang rumahnya di lokasi sama sebelum memaklumkan perkara itu kepada JKKK Perumahan Padang Setengge.
Keputusan bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu mengesahkan mangsa telah meninggal dunia melebihi 24 jam sebelum ditemui.






