Pemilik kebun mati dibunuh: Reman lapan suspek dilanjut empat hari

17 Aug 2026 • 5:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemilik kebun mati dibunuh: Reman lapan suspek dilanjut empat hari
laporan Sinar Harian pada 11 Ogos lalu berhubung penemuan mayat dipercayai dibunuh di kebun kelapa sawit di Banting, Kuala Langat. Gambar kanan: Mohd Akmalrizal

KUALA LANGAT - Reman lapan lelaki yang disiasat berkenaan kes bunuh di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu di sini dilanjut kali kedua selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, lanjutan reman suspek membabitkan warga tempatan dan asing itu bermula Selasa.

"Reman pertama selama tujuh hari telah tamat pada hari ini (Isnin) sebelum mahkamah membenarkan empat hari lagi tempoh reman.

"Siasatan kes ini masih dijalankan daripada pelbagai sudut," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, pihak polis masih giat mengesan seorang saksi lelaki warga Indonesia dikenali sebagai 'Balancing' yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta untuk salurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.

Allahyarham Rusdi Tulus, 49, maut dibunuh dipercayai sekumpulan individu dalam kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kelambu, Banting, 9 Ogos lalu.

Difahamkan, terdapat kesan cedera pada leher dan tikaman di dadah kiri Allahyarham selain kecederaan di belakang kepala akibat dipercayai hentakan senjata tumpul.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pertengkaran dipercayai berkaitan kehilangan peralatan pekebun dan buah kelapa sawit menjadi punca mangsa maut dibunuh.

Susulan itu, polis memberkas lapan lelaki membabitkan warga tempatan dan asing berusia antara 20 hingga 70-an sebelum direman tujuh hari bermula 11 Ogos.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved