
KLANG: Empat pemancing termasuk seorang tekong yang ditemukan selamat dikenal pasti identitinya dan dibawa ke jeti Pangkalan Polis Marin di Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.
Mereka ialah Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, dan tekong, Zulfilkalnain Awang, 47.
Kesemua mereka didakwa ditemui oleh nelayan pukat tunda dekat perairan berhampiran Tanjong Karang dan dimaklumkan kepada pihak berkuasa kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Empat daripada tujuh pemancing itu dijumpai selepas lebih 24 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak awal pagi semalam sejurus laporan kehilangan mereka diterima pihak berkuasa.
Penemuan tersebut kemudian dimaklumkan kepada ahli keluarga yang sedang menunggu di Pos Kawalan Hadapan (PKH) Operasi SAR di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa selepas identiti mereka dikenal pasti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh berkata, kehilangan ketujuh-tujuh sekawan itu dikesan selepas mereka gagal dihubungi oleh ahli keluarga mereka.
“Tadi, selepas mendengar taklimat daripada pihak Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, operasi SAR akan diteruskan sehingga tiga lagi mangsa ditemukan.
“Saya bersyukur empat mangsa ditemukan dalam keadaan selamat walaupun diberitahu mereka dalam keadaan lemah dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Jelas Noor Najhan, ketujuh-tujuh termasuk tekong berkenaan dikatakan keluar ke laut melalui Jeti Sementa untuk memancing ikan cencaru dengan menaiki bot bersaiz 30 kaki panjang dan lapan kaki lebar.
“Pada peringkat awal cuaca baik dan keadaan laut tenang. Namun, tidak lama kemudian angin mula bertiup kencang dan laut bergelora. Tetapi, tak tahulah apa masalah mereka hadapi sama ada kehabisan minyak atau enjin rosak.
“Saya diberitahu, pada waktu mereka berada di tengah, laut bergelora teruk dan ketinggian ombak sehingga empat meter. Saya tak rasa bot yang dinaiki itu mampu bertahan. Dikatakan tekong bot membawa mereka hingga ke perairan sempadan kerana disitu didakwa tempat banyak ikan cencaru,” jelasnya.
Tambahnya, kehilangan ketujuh-tujuh pemancing itu turut dimaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia semalam dan diberitahu tiada penemuan atau tangkapan mana-mana nelayan dilakukannya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan tujuh sekawan dilaporkan hilang selepas keluar memancing dengan menaiki sebuah bot dari Jeti Sementa kira-kira pukul 8 pagi kelmarin.
Mereka yang hilang adalah Mohd. Shahril, Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45; Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37; Zulfilkalnain Awang, 47 dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, yang juga dikenali sebagai Tok Penghulu.
Sementara itu perkembangan di PKH operasi SAR diselaras oleh Maritim Malaysia Selangor itu turut disertai Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Seramai 40 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut yang dibantu dengan aset-aset seperti tiga buah kereta, sebuah jentera dan tiga buah bot serta sebuah pesawat bombardier bagi pemantauan melalui udara.
Difahamkan, operasi yang sebelum ini tertumpu di sekitar perairan One Fathom Bank North berhampiran Pulau Ketam, Pelabuhan Klang diperluaskan sehingga ke perairan Kuala Selangor dan Sabak Bernam. – UTUSAN
The post Identiti empat pemancing dijumpai dikenal pasti appeared first on Utusan Malaysia.






