MBI nafi dakwaan tulisan bahasa Cina dipasang bersama mercu tanda ‘IPOH’

23 Jul 2026 • 3:28 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

MBI menafikan imej tular memaparkan tulisan bahasa Cina sebagai palsu.

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat tulisan dalam bahasa Cina dipasang bersama perkataan ikonik ‘IPOH’ di atas bukit berhampiran Jalan Kuala Kangsar di sini.

MBI menerusi satu kenyataan memaklumkan, imej yang dimuat naik dalam kumpulan Facebook ‘Manjoi Manjoi Ajerr’ itu disahkan palsu dan dipercayai telah dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau melalui kaedah suntingan digital.

“MBI ingin menjelaskan bahawa tulisan ikonik ‘IPOH’ kini sedang melalui proses pemeriksaan, pembaikan dan kerja-kerja baik pulih.

“Tulisan tersebut telah selamat diturunkan pada 15 Julai 2026 bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan terhadap struktur serta keadaan fizikalnya,” menurut kenyataan itu.

MBI menjelaskan, langkah tersebut diambil bagi memastikan mercu tanda ikonik berkenaan sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan terus terpelihara sebagai simbol kebanggaan Bandar Raya Ipoh.

Menurut kenyataan itu lagi, kerja-kerja pemasangan semula tulisan ‘IPOH’ dijangka dilaksanakan secara berperingkat bermula 4 hingga 6 Ogos depan, tertakluk kepada keadaan cuaca serta kelancaran kerja di tapak.

Baca juga:

Dalam pada itu, MBI menyifatkan penyebaran imej yang telah dimanipulasi bersama kenyataan tidak benar sebagai tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan salah faham, keresahan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, kandungan berkenaan turut mempunyai unsur fitnah serta berpotensi menjejaskan imej, keharmonian dan reputasi Bandar Raya Ipoh.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai, mengulas atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya, sebaliknya membuat semakan menerusi saluran rasmi MBI terlebih dahulu.

MBI turut memandang serius penyalahgunaan teknologi AI dan suntingan digital bagi menghasilkan kandungan palsu yang berpotensi mencetuskan ketegangan, kebencian serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Pihak MBI sedang meneliti perkara ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam penghasilan serta penyebaran kandungan palsu berkenaan,” katanya.

The post MBI nafi dakwaan tulisan bahasa Cina dipasang bersama mercu tanda ‘IPOH’ appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved