
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegur sesetengah pihak menggunakan media sosial sebagai tempat menghasut, menimbulkan kebencian, dan memecahbelahkan masyarakat.
Baginda yang juga canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), bertitah setiap kebebasan datang bersama dengan tanggungjawab, justeru rakyat perlu menggunakan media sosial dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain.
“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci, dan menjatuhkan maruah seseorang.
“Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.
“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen (UiTM) ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, Shah Alam.






