Microsoft Perkenal PC Bersambung Ke Awan Untuk Strim Windows Ke Monitor – Windows 365 Link

TechnologyDigital
19 Nov 2024 • 10:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Microsoft hari ini memperkenalkan penawaran baharu, iaitu sebuah PC bersaiz kompak dengan tujuan utama adalah berhubung ke internet, dan strim sistem operasi dari awanan. Komputer ini menyertakan perkhidmatan asas sistem operasi Windows, dimana ia hanya sekadar menghubungkan pengguna ke awanan, dan semua aplikasi, perisian dan dokumen distrim daripada awanan, dan tidak disimpan pada peranti.

image is not available

Dinamakan Windows 365 Link, ia dilihat lebih ditujukan kepada pengguna perusahaan. Tiada sebarang perkara yang akan dijalankan melalui peranti, sebaliknya semua melalui awanan – sekaligus memberikan lebih sekuriti dan keselamatan kepada pengguna.

Dari segi spesifikasi, Windows 365 Link akan menyokong dua paparan monitor 4K, 4 port USB, sambungan Ethernet, sokongan WiFi 6E, Bluetooth 5.3, dan sambungan ke aksesori komputer lain. Peranti ini mempunyai keupayaan untuk memainkan video berkualiti tinggi, dan juga untuk tujuan persidangan video tanpa masalah.

image is not available

Menggunakannya, pengguna hanya perlu log masuk ke akaun Windows 365 perusahaan mereka, dan semua akan dimuatkan ke komputer tersebut. Ini sekaligus menjadikan Windows 365 Link sesuai untuk mereka yang tidak sentiasa di pejabat, dan memerlukan akses komputer kadang-kala – dan sentiasa bertukar-tukar pengguna, memandangkan tiada fail disimpan di komputer, dan setiap log masuk membawa kepada akses komputer Windows 365 serba berbeza.

Microsoft turut mengatakan pelbagai jenama lain turut akan hadir dengan penawaran Windows 365 Link. Microsoft menyasarkan penawaran umum untuk peranti ini bermula April 2025 kelak. Microsoft dilihat menyasarkan pengguna perusahaan untuk fasa permulaan ini, dan memerlukan akaun Windows 365 bersama Microsoft Intune dan Microsoft Entra ID untuk menggunakannya.