Pembaharuan sewa lebih awal, Sentral REIT berpotensi kekal kadar penghunian - RHB Research

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2025 • 10:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembaharuan sewa lebih awal, Sentral REIT berpotensi kekal kadar penghunian - RHB Research

image is not available

08/08/2025 - 10:24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) berpotensi mengekalkan kadar penghunian yang stabil disokong pembaharuan sewaan lebih awal serta asas penyewa yang kukus bagi setiap aset utama miliknya.

RHB Research berkata, sebahagian besar sewaan yang tamat pada 3QFY25 telah diperbaharui lebih awal daripada jangkaan dan ia mencerminkan keyakinan berterusan dalam kalangan penyewa.

Katanya, langkah itu akan mengekalkan kestabilan hasil dan kadar penghunian dari suku tahun ke suku tahun.

"Kira-kira 21% daripada jumlah kawasan boleh disewa bersih (NLA) akan tamat tempoh pada tahun ini, dengan sebahagian besarnya disewa oleh penyewa jangka panjang yang berpangkalan di hartanah utama seperti Cyberjaya, Menara Shell dan Platinum Sentral.

"Aset-aset teras ini menjadi tunjang kepada portfolio REIT, sekali gus mengurangkan risiko penyewa tidak memperbaharui kontrak," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, selain itu, pengambilalihan Arcoris Plaza yang dijangka siap pada 4QFY25 akan membantu mempelbagaikan campuran aset REIT dan mengurangkan kebergantungan terhadap segmen pejabat yang mencabar.

Katanya, penambahan itu akan memperkukuh aliran pendapatan dan meningkatkan daya tahan portfolio.

Firma penyelidikan itu berkata, sementara kadar penghunian teras kekal kukuh, terdapat juga potensi peningkatan keuntungan bagi 3QFY25 hasil daripada penjimatan faedah susulan penurunan kadar faedah baru-baru ini.

"Dengan 38% daripada hutang REIT berada di bawah kadar faedah apungan, pihak pengurusan menjangkakan penurunan kos pembiayaan akan memberi sokongan kepada prestasi kewangan.

"Pemangkin penarafan semula yang berpotensi termasuk pelupusan Wisma Sentral Inai yang kosong, yang berdasarkan anggaran nilai RM150 juta, mampu mengurangkan kadar keberhutangan kepada 39% dan memberi lebih fleksibiliti kepada lembaran imbangan untuk peluang akan datang," katanya.

RHB Research mengekalkan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) 93 sen sesaham. - DagangNews.com

standard