Minta ‘duit kopi’ RM200: Suspek miliki 13 rekod jenayah, dadah

3 Sep 2026 • 12:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Minta ‘duit kopi’ RM200: Suspek miliki 13 rekod jenayah, dadah
Lelaki berkenaan ditahan selepas kes tersebut tular di media sosial sejak Selasa.

MELAKA - Seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod kesalahan lampau ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian meminta ‘duit kopi’ RM200 daripada seorang wanita di Kampung Morten, di sini yang kejadian itu tular di media sosial, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, suspek warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada Khamis selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, suspek mempunyai satu rekod kes jenayah dan 12 rekod berkaitan dadah.

“Semakan lanjut mendapati suspek pernah beberapa kali ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah dan didapati positif ujian air kencing.

“Suspek kini direman selama tiga hari bermula 3 hingga 5 September bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, kejadian berkenaan mendapat perhatian selepas satu hantaran di media sosial Threads mendakwa seorang lelaki mengambil telefon bimbit milik mangsa secara ‘pickpocket’ sebelum berpura-pura membantu mencarinya.

Selepas telefon berkenaan ditemui, lelaki itu dipercayai meminta wang RM200 sebagai ‘duit kopi’ sebelum meninggalkan lokasi.

Hantaran tersebut kemudian tular dan menerima kira-kira 1,800 tanda suka, 181 komen, 916 perkongsian semula dan 1,400 perkongsian.

Halim berkata, polis berjaya mengesan mangsa melalui media sosial sebelum wanita tempatan berusia lingkungan 20-an itu membuat laporan polis pada kira-kira jam 2.06 pagi, Khamis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

“Polis turut mendapatkan kerjasama penduduk setempat di Kampung Morten bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti saksi serta mendapatkan dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, tuduhan atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved