amree06/10/2026 - 15:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt — MISC Berhad memperkukuh kedudukannya dalam pasaran pengangkutan gas asli cecair (LNG) global menerusi penamaan kapal LNG generasi baharu, Th’ailib, yang merupakan kapal pertama daripada tiga kapal baharu di bawah kontrak sewaan jangka panjang bersama QatarEnergy.
Kapal berkenaan dinamakan pada 6 Oktober 2026 di Samsung Heavy Industries Co Ltd (SHI), Korea Selatan, dan bakal disewakan kepada QatarEnergy untuk tempoh tetap selama 15 tahun mulai 2026, sekali gus menandakan perkembangan baharu dalam pembaharuan armada LNG kumpulan itu.
Penyerahan Th’ailib turut mengukuhkan penyertaan MISC dalam program pengembangan armada LNG QatarEnergy, selepas kumpulan berkenaan sebelum ini menyertai Fasa Pertama menerusi pembentukan konsortium yang membabitkan sejumlah 12 kapal LNG.
"Dengan tambahan tiga kapal di bawah Fasa Kedua, kumpulan ini sudah mempunyai sebanyak 15 kapal LNG yang mampu menyokong keperluan pengangkutan LNG jangka panjang dengan QatarEnergy," jelas MISC dalam kenyataan.
Berkeupayaan membawa sehingga 174,000 meter padu LNG, Th’ailib dilengkapi enjin dwi-bahan api, sistem pencairan semula, salutan antikotoran berprestasi tinggi pada badan kapal serta sistem pelinciran udara bagi meningkatkan kecekapan bahan api dan penggunaan tenaga.
Kapal itu turut dilengkapi sistem navigasi, keselamatan dan pemantauan termaju, selain dibina mengikut keperluan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan piawaian maritim antarabangsa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Zahid Osman, berkata LNG akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi permintaan tenaga global yang semakin meningkat, selain menyokong peralihan kepada sistem tenaga dengan pelepasan lebih rendah.
"MISC berbesar hati untuk terus menyokong aspirasi QatarEnergy dan mengekalkan prestasi bagi mengukuhkan kerjasama jangka panjang itu, selain memanfaatkan pengalaman MISC selama beberapa dekad sebagai pemilik dan pengendali kapal LNG," katanya.
Menurut beliau, Th’ailib turut menyokong pelaksanaan strategi 'Delivering Progress MISC' di bawah teras 'Resilient Core', yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan berdisiplin, pemodenan armada serta pelaburan dalam aset canggih yang lebih cekap tenaga.
Nama Th’ailib diambil bersempena daripada Jabal Thuaileb di daerah Fox Hills, Qatar, dan diinspirasikan daripada warisan serta geografi negara Timur Tengah itu, dengan perkataan Arab berkenaan membawa maksud haiwan rubah.
Tambah MISC, kumpulan itu akan terus menyokong keperluan pengangkutan LNG jangka panjang QatarEnergy, di samping memperkukuh sumbangannya terhadap operasi maritim yang selamat, cekap dan berpelepasan lebih rendah. - DagangNews.com






